fbpx
Keadaan kedai makan yang berselerak selepas satu bungkusan meletup sehingga peniaga kedai makan cedera di Jalan Pantai Chenang, Langkawi kelmarin.

‘Ada orang aniaya saya bagi bungkusan berisi bom’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Peniaga kedai makan yang cedera pada muka dan badan selepas bungkusan yang dibuka tiba-tiba meletup sempat memberitahu bahawa dirinya dianiaya pihak tertentu dalam kejadian di Jalan Pantai Chenang di sini kelmarin.

Seorang pengusaha dobi, Emmi Melissa Mukhtar, 41, berkata, dia mendengar jeritan wanita warga Myanmar itu yang mendakwa dia dianiaya ketika mangsa keluar dari kedainya.

Menurutnya, dia sebelum itu terkejut apabila mende­ngar bunyi letupan disusuli jeritan meminta tolong peniaga kedai makan yang terletak bersebelahan premis perniagaannya.

Tambahnya, dia kemudian melihat mangsa berusia 26 tahun itu keluar dari kedai disewanya dalam keadaan ta­ngan dan muka berlumuran berdarah kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Saya juga dengar dia kata lebih kurang seperti ‘ada orang buat naya kat saya’ sebelum cuba hubungi talian kecemasan. Mang­sa kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, Emmi Melissa memberitahu, dia terkejut apabila terde­ngar bunyi kuat ­seperti letupan mercun dari kedai makan tersebut.

“Saya terus bergegas keluar kerana menyangka letupan itu disebabkan litar pintas kerana kedai sebelah ada buat banyak sambungan wayar elektrik, jadi saya padamkan suis utama terlebih dahulu sebelum berlari ­keluar.

“Selepas itu, saya ternampak habuk keluar dari kedai tersebut sebelum mendengar jeritan meminta tolong, namun saya tidak berani mendekati premis berke­naan,” ujarnya.

Tambahnya, dia hanya menye­dari kejadian selepas mangsa keluar dari kedai dalam keadaan tangan dan muka berdarah.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang peniaga kedai makan warga Myanmar cedera pada muka dan badan selepas satu bungkusan yang dibukanya tiba-tiba meletup dalam kejadian di Jalan Pantai Chenang, pagi kelmarin.

Mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, di sini dengan ambulans.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa meng­alami kecederaan akibat letupan bungkusan yang ditemui di belakang sebuah restoran di situ.

Jelasnya, pihaknya masih mengesan suspek serta menyiasat motif sebenar kejadian dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN