fbpx
SITI NAJUA mencium pipi ibunya selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM 2022 ketika ditemui Benut, Pontian semalam.

Berkat jaga ibu sakit, gadis dapat 4A dalam STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Di sebalik kegigihan menjaga ibu yang diuji masalah kesihatan, seorang gadis berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan kelmarin.

Siti Najua Nadira Amat Dasim, 20, mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 sekali gus menjadi antara tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Benut yang meraih keputusan penuh itu.

Menurut gadis itu, dia bangun pada pukul 5 pagi setiap hari untuk menyediakan makanan buat ibunya, Marminah Jait, 64, yang berkerusi roda kerana menderita penyakit kencing manis.

“Selepas selesai memasak, saya bersiap untuk ke sekolah. Saya tinggal berdua dengan ibu, kakak dan abang sudah berkeluarga. Mereka tidak tinggal di kampung ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Seraya, Benut di sini semalam.

Siti Najua memberitahu, dia memperoleh A bagi subjek Bahasa Melayu, Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikasi dan Sejarah.

“Memang mencabar sewaktu menduduki peperiksaan kerana ibu menjalani pembedahan membuang separuh tapak kaki kanan di Hospital Sultanah Nora Ismail Ismail, Batu Pahat.

“Saya tinggal seorang diri di rumah, walaupun bimbang tentang kesihatan ibu, tetapi demi mengejar cita-cita untuk ke menara gading, saya kuatkan sema­ngat. Saya mahu tunaikan impian ayah yang mahu saya menjadi guru,” katanya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Siti Najua berkata, dia menyusun jadual belajar di rumah dengan teliti selain mencari maklumat di internet.

Dua beranak itu bergantung hidup dengan wang jualan kelapa sawit sebanyak RM400 sebulan.

“Jika ditawarkan ke universiti kelak, saya akan bincang dengan adik-beradik supaya mereka dapat menjaga ibu,” katanya.

Sementara itu, Marminah berkata, dia bersyukur kerana doa untuk melihat anaknya berjaya dimakbulkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN