fbpx

Pelajar cemerlang STPM bangun 3 pagi ulang kaji pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nursyuliana (tiga kanan) bergambar dengan ibu bapanya selepas menerima keputusan STPM daripada Yang Dipertua PIBG SMK Yan, Ahmad Fisal Md. Thohir, hari ini.

YAN – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Nursyuliana Mohd. Zahiman,19, berkongsi rahsia kejayaan memperoleh mata gred kumulatif 3.84 dengan bangun pukul 3 pagi setiap hari, untuk mengulang kaji pelajaran.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, dia turut menjadikan amalan membaca al-Quran sebelum memulakan ulang kaji setiap pagi sejak berada di Tingkatan Enam Rendah lagi.

“Saya tidak menyertai kawan-kawan menghadiri kelas tuisyen berbayar kerana tidak mahu membebankan keluarga yang hanya bergantung pendapatan sebagai peniaga nasi lemak bungkus, sebaliknya sanggup bersengkang mata demi meringankan beban mereka.

“Muncul sebagai pelajar terbaik sekolah ini merupakan hadiah tidak ternilai dan saya hadiahkan kepada arwah bapa yang telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, kepada bapa tiri Shaharuddin Mokhtar, 43, dan ibu Noryati Abd Hamid, 48, yang banyak berkorban masa dan tenaga membantu saya selama ini,” katanya semasa ditemui di SMK Yan, hari ini.

SMK Yan muncul sebagai sekolah luar bandar kedua terbaik di Kuala Muda/Yan dan sekolah ke-4 terbaik untuk peringkat negeri Kedah apabila kesemua calonnya seramai 31 pelajar lulus.

Malah, nilai purata gred sekolah (GPS) meningkat kepada 3.10 berbanding 2.87 tahun lalu menyebabkan SMK Yan turut terpilih sebagai sekolah cemerlang.

Nursyuliana yang bercita-cita untuk menjadi pendidik menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, memperoleh A dalam mata pelajaran Sejarah dan Geografi dan A(-) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Pengetahuan Am.

Berkongsi cerita mengenai anaknya itu, Noryati memberitahu bahawa dia adalah seorang anak yang baik, menurut kata dan tidak pernah menyusahkan keluarga terutamanya jika membabitkan wang.

“Dia tahu pendapatan kami sebagai peniaga nasi lemak di tepi jalan Sungai Limau, dekat sini, hanya sekadar cukup makan dan tidak boleh bermewah.

“Sebab itu dia tidak mahu pergi ke mana-mana kelas tuisyen berbayar dan hanya lebih banyak mengulang kaji dan belajar di rumah sahaja,” katanya.

Kata Noryati, dia turut bersyukur kerana usaha keras anaknya itu selama ini termasuk tidak terlalu banyak berkawan dengan rakan sebaya membolehkan dia menumpukan perhatian dalam proses pembelajaran hingga muncul pelajar cemerlang sekolahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI