PETALING JAYA – Seorang pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Melaka mencetuskan inspirasi apabila dinobatkan sebagai antara pelajar terbaik dunia bagi subjek Management Information (MA1) dalam peperiksaan akaun antarabangsa, ACCA, baru-baru ini.
Putri Qistina Rosmadi, 19, yang mengikuti pengajian Foundation in Accountancy (FIA) di bawah tajaan Young Talent Programme (YTP) Mara, membuktikan kehebatannya apabila memperoleh markah hampir sempurna iaitu 98 peratus.
Keputusan cemerlang itu diperoleh menerusi peperiksaan yang didudukinya pada 13 November 2025, sebelum beliau secara rasmi diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Prizewinner’ pada 30 Januari lalu.
“Saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana memperoleh satu penghargaan yang sangat besar daripada pihak ACCA.
“Kejayaan meraih 98 peratus ini bukan sekadar pencapaian peribadi, malah ia adalah bukti bahawa pelajar tajaan Mara juga mampu bersaing di peringkat global dan menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kejayaan luar biasa itu sekali gus meletakkan anak jati Pahang ini di kedudukan kedua terbaik di dunia dan juga kedua terbaik di Malaysia bagi subjek tersebut.
Menurutnya, beliau mengamalkan disiplin yang tinggi dengan membaca topik pembelajaran lebih awal sebelum kelas bermula bagi memastikan kefahaman yang mendalam.
“Saya akan fokus sepenuhnya sewaktu pensyarah mengajar. Pada waktu petang dan malam pula, saya akan berehat sebentar sebelum menyambung semula ulang kaji.
“Apabila tiba musim peperiksaan, saya akan memperbanyakkan latihan dan sentiasa merujuk dengan kawan-kawan serta pensyarah jika ada perkara yang kurang jelas,” ujarnya.
Siapa sangka, di sebalik ketangkasannya mengira angka, Putri Qistina juga merupakan seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh yang juga seorang hafizah.
Menurutnya, pengalaman pahit manis sepanjang proses menghafal kalam Allah itu banyak membantunya membina kekuatan mental dan disiplin diri yang tinggi.
“Pada awalnya saya sangat bergelut untuk menghafal, namun lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri. Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan adalah momen tasmik di rumah warden pada waktu malam dan akhirnya berjaya khatam,” kongsinya.
Mengulas mengenai latar belakang keluarga, Putri Qistina menyifatkan sokongan padu ibu bapanya yang merupakan seorang guru sekolah rendah dan guru tingkatan enam sebagai kunci kejayaan.
“Ibu mengajar kami membaca, manakala ayah mengajar matematik pada hujung minggu sejak kami kecil.
“Mereka sangat mementingkan akademik tetapi tidak pernah memberi tekanan, sebaliknya sentiasa memberi motivasi dan menekankan adab serta agama,” jelasnya.
Anak kedua daripada empat beradik itu kini memasang impian besar untuk menjadi seorang juruaudit luar (external auditor) di syarikat PwC sebaik sahaja bergelar ahli gabungan ACCA pada usia muda kelak. -KOSMO! ONLINE














