BALING – Kebanyakan mangsa aliran puing dan banjir lumpur di Kampung Iboi, di sini masih tidak mampu untuk mengusahakan semula tanaman yang musnah biarpun sudah hampir setahun kejadian itu berlaku.
Menurut Abd. Rahman Said, 72, penduduk yang terjejas teruk dalam kejadian itu bukan sahaja kehilangan rumah, malah tanaman diusahakan di kebun dan sekeliling rumah turut musnah.
“Penduduk tidak dapat jalankan semula aktiviti pertanian dan penternakan kerana tiada sumber kewangan mencukupi.
“Tapak rumah dan kawasan tanaman seperti sayur, jagung dan serai juga sudah diselaputi pasir serta batang-batang pokok yang dihanyutkan dalam bencana itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Iboi, di sini semalam.

Katanya, ada juga pokok-pokok getah yang mati disebabkan kejadian itu seterusnya menyebabkan hasil menoreh berkurangan.
“Jadi, saya harap ada pihak berkaitan termasuk Jabatan Pertanian dapat membantu penduduk dengan memberikan bantuan untuk menjalankan projek pertanian.
“Selain bantuan kewangan, kami sangat memerlukan kursus-kursus untuk bangkit semula supaya dapat meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Penduduk, Muhammad Ashraf Suhaimi, 38, berkata, projek pertanian itu bukan sahaja boleh membantu memberikan pendapatan baharu, malah mengisi masa penduduk yang hanya bergantung kepada sektor pertanian.
“Dulu saya bantu ayah menoreh, tanam sayur dan buat kerja-kerja kampung, namun hasil pendapatan berkurangan selepas tragedi itu.
“Jika ada agensi yang mahu bantu kami jalankan pertanian secara berilmu, kami sangat mengalu-alukan,” jelasnya.
Tambahnya, agensi berkaitan perlu turun dan banci penduduk yang berminat menjalankan pertanian seterusnya mengenal pasti projek yang mampu beri keuntungan.














