LOQUE bersama laskar muziknya, MonoloQue tiada masalah dikecam ‘syok sendiri’ dalam usaha memartabatkan irama tradisional daripada ditelan zaman.
TIDAK semua boleh menerima nukilan penyanyi yang sinonim dengan imej bertengkolok dan bersampin itu.
Setiap karya yang dihasilkan selalunya bersifat berat sehingga membuatkan segelintir pendengar terpaksa ‘perah otak’ untuk memahami maksud tersirat yang cuba disampaikannya.
Tuan punya badan iaitu penyanyi LoQue sendiri mengakui, karyanya memang mendalam sehingga sukar difahami pendengar muzik sehingga seni yang diketengahkan itu adakalanya dikritik masyarakat.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar itu tidak kisah dengan tohmahan atau cakap-cakap orang ramai apabila dia dilabel ‘syok sendiri’ dengan setiap karya lagu yang dihasilkan.
Kata LoQue, adat sebagai anak seni sama ada untuk disayangi atau dibenci. Setiap orang mempunyai pandangan masing-masing dan berhak menyuarakan pendapat mereka.
“Orang kata saya syok sendiri disebabkan karya yang saya hasilkan terlalu ‘deep’ (mendalam). Sehingga ada yang melabel saya syok sendiri.
“Tapi saya okey sahaja kerana hormati setiap pandangan orang lain. Lagi pun saya sudah biasa muzik saya dikritik.
“Malah peminat saya sendiri ada yang mengkritik karya saya. Macam-macamlah. Pendirian saya, seni itu tidak patut ‘dipenjarakan’ atau tertumpu pada genre tertentu sahaja,” ujarnya membela diri.
Berkarya
Tutur penyanyi berusia 46 tahun itu lagi, penggiat seni tidak seharusnya terikat dengan satu-satu bentuk muzik sahaja. Mereka patut bebas, walaupun sedar karya yang dihasilkan itu sukar untuk diterima ramai.
“Saya lagi sanggup buat kerja yang hari-hari dikritik orang, berbanding asyik saya mengkritik orang lain.
“Macam saya katakan, saya sudah biasa dikritik. Biarlah 100 atau 200 buah lagu saya dikritik. Itu lebih baik daripada saya hanya tahu mengkritik orang lain dan tidak buat apa-apa,” katanya.
Sekental mana hatinya, begitu juga tebalnya cinta LoQue terhadap bidang muzik.

Menepis jauh perasaan kecewa walau sedikit, dia akan terus bertahan memperjuangkan muzik dengan karya-karya istimewanya.
Perjuangan
Jauh disudut hati, vokalis kumpulan MonoloQue itu menyimpan sedikit perasaan hampa apabila menyedari perjuangan muzik yang cuba dilakukan itu, seakan-akan bersendirian tanpa mendapat sokongan daripada pihak sepatutnya.
Enggan menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang atau menyekat usahanya memartabatkan industri muzik tempatan, pemuzik kelahiran Alor Setar, Kedah itu meneruskan perjuangannya tanpa berharap bantuan daripada orang lain.
“Saya buat muzik dengan sepenuh hati. Saya lakukan sebab seronok, suka dan tanggungjawab. Kalau ada pihak tertentu nak sokong, boleh saja. Tapi, jika mereka tak bantu pun memang saya tak marah.

“Ini bukan paksaan. Saya dah biasa sejak dari dulu lagi. Sebab kalau kita tak buat (karya), memang tak akan ada siapa pun nak buat. Lagi pula, saya juga masih dalam proses mencari formula.
“Buat masa ini, saya buat saja untuk karya muzik yang jadi pilihan itu diraikan. Saya nak bawa orang muda mencari dan menyelidik lagu lama itu dengan kemudahan teknologi hari ini. Semuanya di hujung jari,” katanya.
Gostan, Azhar Sulaiman
Terbaharu, LoQue bersama anggota MonoloQue tampil dengan sebuah karya berbentuk band project iaitu Gostan yang turut menampilkan penyanyi, Asmidar dengan melancarkan lagu Dia Datang nyanyian asal Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad.
Jelas LoQue, keputusannya merakamkan kembali lagu lama (Dia Datang) adalah sebagai tanggungjawab ke arah usaha mempertahankan seni warisan lagu tradisi dan nusantara.
“Untuk projek Gostan, kami memilih lagu lama yang dirasakan sesuai dan sedap didengar semula. Keaslian dan identiti lagu tersebut tidak diubah, namun kami ada menyuntik sedikit elemen segar untuk diterima pendengar muda hari ini.
“Tujuannya, kami nak bagi orang kenal semula lagu lama, termasuk menarik perhatian mereka untuk mendengarkannya. Sebelum ini, saya pernah merakamkan semula lagu Tak Seindah Wajah nyanyian asal Allahyarham Tan Sri SM Salim, juga bersama Asmidar dan diterima baik pendengar,” katanya.
Ditanya perancangan Gostan menerbitkan album lagu berentak tradisional, LoQue berkata, perancangan itu bakal direalisasikan suatu hari nanti dan enggan terburu-buru.
“Perancangan itu ada (album tradisional). Cuma saya tidak mahu buat secara terburu-buru. Setakat ini ada empat buat lagu yang sudah pun dirakam, antaranya Ketipang Payung dan Tari Tualang Tiga.
“Bagaimanapun, setiap lagu itu akan dilancarkan setiap tiga atau empat bulan sekali secara digital.
Selain menampilkan Asmidar, Gostan menerusi lagu Dia Datang turut menyaksikan penampilan istimewa pelakon, Azhar Sulaiman dalam muzik video (MV).
Menariknya, dalam MV tersebut, Azhar perlu menari di hadapan orang ramai di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur.
“Saya percaya kebanyakan pendengar muzik hari ini tidak mengenali karya dan penyanyi asal lagu Dia Datang.
“Sayang juga sekiranya lagu lama ini tidak dihangatkan semula sebagai warisan yang perlu dipelihara,” katanya menggulung perbualan.














