LIPIS – Jika sebelum ini, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlumba-lumba memasuki menara gading, namun kini keadaan sudah berubah apabila golongan muda dilihat lebih cenderung untuk bekerja terlebih dahulu.
Bekerja sambil belajar kini menjadi trend golongan muda khususnya lepasan SPM yang dilihat kurang berminat menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi secara sepenuh masa.
Kesukaran graduan mendapat kerja bersesuaian menjadi antara faktor mereka mengambil keputusan tidak menyambung pengajian di universiti, selain faktor survival kehidupan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Presiden Open University Malaysia (OUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Izanee Awang berkata, sejak beberapa tahun ini, trend kemasukan ke OUM telah berubah, menyaksikan majoriti pelajar memasuki universiti itu adalah antara umur 20 hingga 35 tahun.
Katanya, trend ini yang bermula pada 2018 lebih ketara pada 2020 yang menyaksikan pada masa ini, sebanyak 76.7 peratus pelajar OUM berumur 35 tahun ke bawah.
Beliau memberitahu, program yang popular di universiti berkenaan pada masa ini ialah Diploma Pengajaran Lepasan Ijazah, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pengurusan dan Pengajian Islam.
“Kalau mula-mula buka, OUM dari segi peringkat umur (kemasukan pelajar) lebih kepada golongan dewasa berumur 40 tahun ke atas yang sudah bekerja, tetapi kebelakangan ini trend pelajar yang masuk ke OUM melibatkan golongan muda seawal 20-an.
“Ini mungkin disebabkan gig ekonomi dan keadaan ekonomi sekarang yang mencabar, selain mereka fikir kalau sambung belajar (sepenuh masa di universiti) tidak semestinya keluar akan dapat kerja,”katanya di sini semalam.
Menurutnya, kumpulan lepasan pelajar SPM seperti itu terpaksa memikirkan survival kehidupan atas desakan ekonomi seperti kesan pandemik, faktor keluarga dan sebagainya sehingga mereka terpaksa memilih untuk bekerja sambil belajar.
Katanya, walaupun bekerja seperti dalam ekonomi gig mereka juga boleh melakukan persediaan masa depan mereka dengan memiliki diploma atau ijazah daripada universiti itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, OUM yang memiliki 35 pusat pembelajaran di seluruh negara pada masa ini mempunyai kira-kira 29,300 pelajar aktif yang sedang mengikuti pelbagai kursus pengajian.
Ujarnya, sehingga kini, OUM yang menawarkan 55 program daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah menyaksikan kira-kira 98,200 pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang pengajian.
Sementara itu, Pengarah OUM Lipis, Radziyudin Sulaiman berkata, golongan muda di kawasan luar bandar termasuk lepasan SPM juga turut menunjukkan kesedaran yang tinggi untuk melanjutkan pengajian.
Katanya, ramai golongan muda termasuk pekerja gig dan juga guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengikuti pengajian di OUM sebagai persediaan kerjaya dan bagi menambah ilmu.
“Di OUM, semuanya belajar secara dalam talian dan kewujudan pusat pembelajaran di Lipis memudahkan mereka berurusan termasuk pelajar dari Lipis, Raub dan Cameron Highlands,” ujarnya.














