fbpx
PEKERJA yang memiliki kemahiran dalam bidang automatif berpeluang cerah untuk memiliki bengkel sendiri. – GAMBAR HIASAN

Ubah mentaliti, pelajar cemerlang bukan hanya di universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu bapa diingatkan agar tidak terlalu kecewa sekiranya anak mereka gagal meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Sebaliknya, ibu bapa perlu mengambil peluang dengan revolusi perindustrian yang sedang pesat berlaku ketika ini dengan memastikan anak mereka berpeluang berada dalam bidang kemahiran.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ibu bapa sebenarnya perlu mengubah mentaliti yang menganggap anak mereka jika memperoleh keputusan cemerlang, perlu memasuki universiti.

“Keputusan SPM baru-baru ini tidak semua dapat keputusan cemerlang. Minggu ini ada ibu bapa tengah berasa kecewa dan itu normal, tetapi tidak boleh lama sangat nyatakan kekecewaan itu. Kita ada banyak pilihan.

“Pergilah ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kebanyakan ibu bapa harap anak masuk universiti sedangkan dalam fenomena sekarang, ­peluang pekerjaan yang cerah dengan gaji tinggi adalah dalam bidang TVET,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Anuar berkata, banyak industri kini memerlukan pekerja dalam bidang TVET yang boleh melakukan pekerjaan sejurus diambil bekerja dan mereka ini berupaya untuk membuat nilai tambah dalam pekerjaan.

Kata beliau, lulusan TVET juga sebenarnya mempunyai ruang dan peluang yang cukup besar untuk menjalankan perniagaan sendiri kerana mereka memiliki kemahiran diperlukan.

“Kebetulan saya berbual de­ngan individu yang terlibat dalam perniagaan pendingin hawa baru-baru ini. Dia pasang empat hingga lima pendingin hawa sehari. Saya fikir pendapatannya sangat besar.

“TVET beri peluang anak kita maju ke depan. Kalau tidak mahu makan gaji, boleh buka perkhidmatan sendiri. Zaman ini lebih mudah tawarkan perkhidmatan kerana banyak platform. Boleh dapat pelanggan tanpa perlu ada kedai.

“Memang peluang sekarang ini sangat terbuka kepada kumpulan kemahiran seperti juruelektrik, mekanik, baik pulih komputer dan sebagainya, tapi itulah pemikiran dulu-dulu anak mesti masuk universiti,” katanya.

Menurut beliau, ibu bapa yang berharapkan anak dapat beker­ja dalam sektor kerajaan juga perlu menyedari bahawa sektor tersebut telah tepu sehinggakan berlaku lambakan dalam bidang perguruan dan perubatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN