PETALING JAYA – Ramai dalam kalangan pekerja di negara ini yang bekerja lebih daripada lapan jam sehari, berdasarkan Kajian Keseimbangan Kerja-Kehidupan yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Tinjauan UCSI baru-baru ini.
Tinjauan tersebut dijalankan terhadap 856 orang dewasa Malaysia yang bekerja.
Antara penemuan kajian berkenaan ialah 45 peratus responden menyatakan mereka bekerja antara lapan hingga 10 jam sehari, manakala tujuh peratus bekerja lebih daripada 10 jam sehari.
Selain itu, hampir tiga per empat daripada responden memberitahu mereka terpaksa bekerja melebihi waktu kerja biasa mereka, dengan 57 peratus mengatakan mereka bekerja lebih masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dan 15 peratus mendakwa bekerja lebih masa setiap hari.
Menurut laporan berkenaan, hanya 40 peratus responden menyatakan bahawa mereka seronok bekerja.
“28 peratus daripada responden menyatakan bahawa kerja mereka memenatkan, 27 peratus mendapati pekerjaan mereka membebankan kerana terlampau banyak tanggungjawab, manakala lima peratus daripada responden berasa ingin berhenti kerja.
“Sementara itu, 22 peratus memberitahu sering terlepas hal-hal penting yang melibatkan peribadi atau keluarga mereka disebabkan kerja dan 54 peratus berkata mereka kadang-kadang terlepas hal berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, kira-kira separuh daripada responden berpendapat bahawa mereka mempunyai keseimbangan kerja-kehidupan yang baik dan hanya 25 peratus mengatakan tidak mempunyai keseimbangan kehidupan dan kerja, manakala 23 peratus lagi tidak pasti.
Berhubung perkara yang responden mahu pihak majikan ubah atau sediakan untuk keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik, 46 peratus meminta pengurusan menyokong kesihatan fizikal dan mental.
40 peratus responden mahu waktu kerja yang lebih baik dan 39 peratus ingin pihak pengurusan membantu pekerja memenuhi keperluan peribadi mereka.














