DUA bulan terlantar di katil wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat masalah usus, penyanyi Rayuanku akhirnya dijemput kembali pulang ke negeri abadi. Pergi dalam tenang, Rohana Jalil kekal dalam sanubari khalayak sebagai penyanyi bersuara emas yang pernah mewangi di persada muzik tanah air.
DILAHIRKAN pada tanggal 18 Februari 1955 dengan nama sebenarnya Dara Abd. Jalil, bukan mudah untuk penyanyi popular era 1980-an itu mencipta nama dalam industri muzik tanah air.
Beberapa kali pemilik nama pentas Rohana Jalil itu berdepan kegagalan dek sepanjang menelusuri belantika muzik demi berdiri sebagai penyanyi berjaya.
Mengimbas kembali perjalanan karier nyanyiannya, Rohana berjinak-jinak dalam arena ‘tarik suara’ apabila sering diundang membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan di daerah kelahirannya di Kota Tinggi, Johor.
Dia juga pernah menyanyi di kelab malam sebagai usaha membantu kewangan keluarga, sekali gus membuktikan keseriusan cintanya terhadap bidang nyanyian.
Berbekalkan pengalaman yang dicanai bertahun-tahun, Rohana juga mencuba nasib untuk menyertai pertandingan Bintang RTM di Johor Bahru sebanyak dua kali, namun gagal apabila tewas di peringkat awal lagi.
Bagaimanapun, kegagalan yang dilalui ternyata tidak sekali pun membiakkan rajuk di jiwa Rohana.
Sekitar tahun 1979, wanita berkulit sawo matang itu nekad berkelana ke Kuala Lumpur demi meraih peluang lebih besar.

Tekad hijrah
Tujuannya cuma satu, dia mahu sekali lagi mencuba nasib menyertai pertandingan Bintang RTM, sebelum rezeki akhirnya memihak kepadanya apabila menjadi juara Bintang RTM 1980.
Kejayaan yang diraih Rohana atau mesra disapa Ana menjadi permulaan untuk bergelar penyanyi profesional.
Namun, laluan pendakiannya ke populariti bukan mudah walaupun selepas menggenggam trofi juara Bintang RTM 1980.
Hanya berbekalkan kemantapan vokal, keberadaan Rohana dalam industri masih dipandang sebelah mata.
Berkat kesabaran selama bertahun-tahun, nasib akhirnya menyebelahi Rohana apabila lagu Rayuanku, hasil ciptaan komposer terkenal, Allahyarham A. Ali berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1988.
Selain Rayuanku, Rohana turut ‘harum’ menerusi beberapa buah lagu lain ciptaan A. Ali antaranya Resahku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez, Jauh Terkenang, Jangan Main Mata dan Naluri Cinta.
Ketika itulah, nama Rohana boleh dikatakan sebagai antara penyanyi paling popular, sebaris dengan rakan seperjuangan lain seperti Datin Salwa Abd. Rahman, Datuk Azizul Khamis, Zue Eda dan Azura Aziz.

Sepanjang bergelar anak seni, beberapa kali Rohana berjaya menjejakkan kaki ke pentas pertandingan berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).
Sekitar 1986, arwah menggantikan tempat Datuk Jamal Abdillah menyanyikan lagu Cinta Yang Terbiar dan mendapat tempat ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik AJL.
Ketika AJL ketiga, arwah berjaya merangkul naib juara untuk kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Rayuanku.
Selama empat dekad bergelar anak seni dengan lebih 20 buah album studio, nama Rohana masih belum pudar sebagai penyanyi terbaik yang pernah hadir dalam arus muzik tanah air.
Biarpun telah berusia, kecintaannya terhadap nyanyian tidak pernah putus biarpun kurang diberi perhatian dek kebanjiran artis baharu.
Rohana mengejutkan ramai apabila diberitakan sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia akibat masalah kebocoran usus sejak awal April lalu.

Bertarung nyawa
Selepas dua bulan bertarung nyawa, akhirnya ibu kepada tiga cahaya mata itu dijemput pulang ke negeri abadi pada pukul 11.33 malam pada usia 68 tahun berikutan jangkitan kuman pada organ lain.
Penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, anak-anak serta ahli keluarga terdekat.
Seperti diluahkan anak bongsunya yang juga pelakon, Kilafairy atau Shakila Nisa Jahangir Khan, insan kesayangannya itulah yang menjadi idola dalam dunia seni apabila sentiasa kental berdepan segala onak duri biarpun terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Rakan seperjuangan yang terakhir mengadakan persembahan bersama beberapa hari sebelum jatuh sakit, Jaafar Onn melihat Rohana bukan sekadar sahabat, bahkan saudaranya yang tidak suka menyusahkan orang .
Katanya Rohana tidak pernah berkira bahkan kerap mengundang dirinya untuk sama-sama beraksi dalam banyak persembahan atau majlis korporat.
“Ada yang tak tahu Ana bersaudara dengan saya. Kami berkawan baik dan selalu berduet dalam banyak persembahan termasuk yang terakhir sebelum arwah dimasukkan ke hospital.

“Arwah baik hati, disayangi tetapi bukan jenis yang suka berkongsi kisah peribadi. Tentu saja kehilangannya dirasai semua,” katanya.
Penyanyi juga penyampai radio, Haiza Hanafi pula sentiasa mengingati pesanan Allahyarham supaya menjaga penampilan walau di mana berada.
“Saya mengenali Kak Ana sekitar 1995 kerana ketika itu saya sudah rapat dengan Jaafar Onn yang kawan karibnya.
“Dia penghibur nama besar tetapi sentiasa merendah diri dan tak lokek ilmu. Allahyarham sangat menjaga penampilan, selalu ‘bersiap’ tidak kira berada di mana-mana acara,” katanya. Teman artis lain, Herman Tino yang mengenali arwah sejak 1980-an juga mengenang Rohana sebagai penggiat seni berjiwa besar.
Akui penyanyi otai itu, Allahyarham selalu teruja apabila berkongsi cerita mengenai dunia seni yang disifatkan cinta pertamanya.
“Semangat arwah memang luar biasa. Saya akan terus mengingatinya sebagai penghibur sejati.
“Buat peminat, kalau dengar nyanyiannya di radio, minta sedekahkah al-Fatihah,” ujarnya.
Perginya seorang insan istimewa, namamu akan kekal dalam ingatan, teruntuk yang membesar dalam resah Rayuanku.















