PETALING JAYA – Minat mendalam terhadap artis kesayangan sama ada dari dalam dan luar negara mendorong orang ramai terutama golongan muda berbelanja besar untuk membeli tiket konsert sehinggakan laris bagai goreng pisang panas.
Golongan itu tidak kisah menghabiskan ribuan ringgit asalkan tidak melepaskan peluang ke konsert artis yang diminati. Buktinya, tiket konsert penyanyi rock, Ella baru-baru ini disapu licin dalam tempoh 24 jam sebaik jualannya dibuka pada Mac lalu.
Tinjauan Kosmo! Mendapati mereka yang menyertai konsert artis itu bukan kesemuanya bekerjaya, malah ada golongan pelajar.
Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Firdaus, 38, berkata, dia berbelanja lebih RM600 untuk menyaksikan konsert artis Amerika Syarikat (AS), Billie Eilish di Axiata Arena Bukit Jalil baru-baru ini.
“Saya sememangnya amat meminati Bellie, lebih-lebih lagi apabila dapat tonton di depan mata setelah sekian lama menanti kehadirannya di Malaysia.
“Jumlah wang yang dibelanjakan itu memang besar, tetapi ia berbaloi. Perasaan menonton persembahan Billie Eilish secara langsung di tidak sama dengan persembahan di YouTube,” katanya kepada Kosmo! Semalam.

Pendapat sama disuarakan Nazira Mohd. Khalid, 34, yang pernah ‘melabur’ hampir RM2,000 untuk membeli tiket menonton konsert Blackpink di lokasi sama pada Mac lalu.
Menurut Nazira, biarpun jumlah itu besar, namun dia tidak kisah berbelanja demi penyanyi kesayangan dari Korea Selatan.
“Biasanya saya membeli tempat duduk yang paling hampir dengan pentas. Memang harga tiket mahal, tetapi saya berpuas hati,” katanya.
Nazira menambah, dia tidak menganggap wang yang dikeluarkan itu satu pembaziran memandangkan ia bukan dilakukan pada setiap bulan.
“Biasanya konsert artis diadakan beberapa tahun sekali, jadi saya akan mengumpul wang sedikit demi sedikit, asalkan hasrat dapat dipenuhi,” katanya
Sementara itu, seorang pelajar universiti, Farisha Fadzil, 20, memberitahu, dia sanggup mengambil pelbagai tawaran kerja seperti model semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli tiket konsert artis seperti Bruno mars, Charlie Puth, Ed Sheeran, Ali Gatie, Shawn Mendes.
“Selain mengambil tawaran sebagai modelling, ada juga tiket dibeli menggunakan duit tabung,” katanya.
Jelasnya, walaupun pernah ditipu ulat tiket sewaktu konsert Coldplay di Singapura sehingga kerugian lebih RM1,000 pada 2017, namun ia tidak mematahkan semangat gadis itu untuk menonton konsert artis-artis lain.

“Selepas ditipu, saya beli pula tiket konsert Bruno Mars masa 2018 yang berharga RM1,200.
“Walaupun sibuk dengan jadual kelas, tetapi saya masih sempat mendapatkan tiket Coldplay yang bakal diadakan pada November nanti,” katanya.
Seorang lagi pelajar dikenali Daniel, 24, berkata, dia menggunakan wang pinjaman pengajian untuk membeli tiket persembahan artis kesayangannya yang berharga RM368.
Dalam pada itu, penjawat awam, Norazni Syahira Mohd. Aznan, 27, berkata, dia berhabis RM1,888 semata-mata untuk membeli tiket konsert penyanyi Korea Selatan baru-baru ini.
“Saya pernah menonton konsert Blackpink, kali ini saya mahu melihat mereka secara depan-depan,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam dikenali Daim, dia membeli tiket berharga RM200 untuk ke Konsert Jiwa Kacau di Stadium Malawati, Shah Alam pada 17 Jun kerana mahu minat selain mahu melepaskan tekanan.
Saya rasa berbaloi sebab artis-artis tempatan yang membuat persembahan adalah nama-nama hebat seperti Bunkface, Insomniacks, Masdo dan Hujan.
“Ini bukan konsert pertama saya yang saya hadiri. Sudah beberapa kali saya pergi konsert seperti ini. Selalunya saya pergi untuk melepaskan stres,” katanya.















