fbpx
Sektor p-hailing makin kritikal, kadar upah merosot 50 peratus. - Gambar hiasan

Kadar upah merosot 50 peratus, rider hidup ‘susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesukaran pekerja perkhidmatan p-hailing untuk meraih pendapatan lumayan ketika ini walaupun bekerja melebihi 12 jam banyak didorong oleh kadar upah yang merosot sehingga 50 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Sebagai perbandingan, sebelum ini individu yang bekerja sebagai penghantar makanan ataupun barangan mampu memperoleh pendapatan RM150 de­ngan bekerja selama 12 jam sehari, namun kini perlu bekerja sehingga 15 jam sehari untuk menjana pendapatan yang sama.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, keadaan itu adalah amat kritikal terutama bagi kelangsungan hidup pekerja perkhidmatan berkenaan.

“Sekarang ini untuk kumpul pendapatan RM150 sehari, seseorang itu perlu kerja lebih 15 jam dan kena ambil pesanan yang lebih untuk dapat pendapatan yang sama.

“Kena ingat pendapatan itu adalah pendapatan kasar kerana ia tidak termasuk kos lain yang perlu ditanggung pekerja p-hai­ling,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Abdul Hakim berkata, ke­a­daan bertambah kritikal apabila terdapat syarikat pengendali aplikasi yang didakwa gagal menunaikan tawaran insentif tunai seperti dijanjikan.

Menurut beliau, pekerja p-hailing juga tidak mendapat keadilan yang sewajarnya daripada pemilik aplikasi sekiranya terdapat aduan yang dibuat daripada pelanggan.

“Sektor ini melibatkan pertindihan banyak kementerian dan kalau boleh, kami mahu satu perundangan diwujudkan meliputi kesemua rangkaian ekosistem p-hailing di peringkat kerajaan, syarikat penyedia aplikasi, penunggang, pengguna serta vendor. Kena ada garis panduan,” tambahnya.

Justeru kata beliau, Penghantar menyokong penuh cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia bagi mengawal selia ekosistem ekonomi gig di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN