fbpx
PERKERJA perkhidmatan p-hailing di Kuala Lumpur perlu berkerja lebih masa bagi menampung perbelanjaan dan keperluan keluarga pada setiap bulan.

‘Kami kerja 15 jam sehari, hanya dapat RM150’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kehidupan sebagai penghantar makanan dan barangan di ibu negara bukanlah semudah yang disangka apabila kebanyakan mereka terpaksa berkerja sehingga 15 jam sehari semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

Malah, rata-rata daripada pekerja p-hailing ini mengakui, pendapatan yang diraih setiap bulan iaitu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 hanya cukup-cukup makan untuk menanggung segala kos termasuk sewa rumah, bayaran bil elektrik dan air selain perbelanjaan harian.

Dianggarkan lebih 150,000 penghantar makanan dan barangan beroperasi di seluruh negara dengan separuh daripadanya tertumpu di Lembah Klang khususnya di Kuala Lumpur.

ZAIDI banyak menghabiskan masanya di atas jalan raya bagi menghantar makanan dan barangan yang dipesan pelanggan.

Berkongsi pengalaman tersebut, seorang rider dikenali sebagai Zaidi, 33, berkata, dia sendiri terpaksa berkerja 30 hari sebulan bagi memastikan pendapatannya tidak terjejas.

“Jika musim perayaan atau cuti sekolah, pendapatan akan lebih sedikit kerana rider ramai bercuti dan job banyak. Kadang kala pendapatan boleh cecah RM200 sehari.

“Tetapi penat sikit kerana kami perlu kerja 15 jam sehari. Malah, tiada istilah cuti atau hari minggu. Kalau mahu bayaran lebih, kami kena pandai pilih job ataupun trip yang lebih jauh.

“Contohnya, bulan lalu saya dapat trip hantar dokumen ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dapatlah bayaran RM60 untuk pesa­nan itu,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Bagaimanapun, kata Zaidi, meskipun pendapatan mence­cah RM4,000 sebulan, namun jumlah itu sebenarnya hanya cukup untuk keperluan bulanan dan dia gagal untuk membuat sebarang simpanan.

“Melalui pendapatan ini, dapatlah saya bayar sewa rumah RM850, yuran tadika dan keperluan dua anak RM1,000 (susu dan lampin pakai buang), ansuran motosikal dan penyelenggaraan motosikal RM600, bil-bil ultili dan barang dapur serta ansuran kereta.

“Senang kata, pendapatan saya sekarang hanya mampu memenuhi tuntutan bulanan sahaja, mahu menyimpan jauh sekali,” katanya yang memaklumkan isteri kini tidak bekerja kerana menjaga seorang anak yang mengalami masalah kesihatan.

Rider menunggu pelanggan sebelum mendapat pesanan. – Gambar hiasan

Bagi Cik Man, 54, pula, dia mengakui job ketika ini tidak terlalu banyak seperti sebelum ini menyebabkan dia terpaksa be­kerja sehingga lewat malam untuk mendapatkan upah lebih.

“Dahulu kerja enam atau tujuh jam boleh dapat 20 pesanan, tetapi sekarang kena kerja sehingga 15 jam sehari baru dapat pesanan seperti sebelum ini.

“Pendapatan pula tidak menentu, kadang dapat RM120 dan ada ketika dapat RM60 saja. Secara purata dapatlah RM2,000 hingga RM2,500,” katanya yang kini masih menanggung anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan dikenali sebagai Kecik, 34, mengakui, pendapatan kebanyakan rider sepertinya terjejas teruk kerana kadar upah yang rendah serta terpaksa berebut pesanan.

“Rider terlalu ramai sekarang, macam saya terpaksa kerja 15 jam sehari untuk mendapatkan 20 hingga 30 pesanan berban­ding dahulu hanya perlu kerja lapan hingga 10 jam sahaja.

“Secara purata seminggu dapatlah pendapatan RM800 hingga RM1,000. Kami juga perlu kerja keras dan mula keluar rumah seawal pagi dan hanya balik pada lewat malam.

“Memang perit hidup se­perti kami kerana pendapatan tidak menentu. Tambahan pula, kos barangan semakin naik menyebabkan kami tiada pilihan lain selain perlu sentiasa berada di atas jalan,” ujarnya.

Di Shah Alam, Selangor, nasib serupa dialami kebanyakan rider yang terpaksa berkerja keras untuk meraih pendapatan RM50 walaupun telah memerah kudrat selama 12 jam.

Penghantar makanan, Abdul Rais Mohd. Yasin, 34, berkata, dia terpaksa melakukan pekerjaan itu untuk memastikan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 dapat diraih bagi menampung segala komitmen dan keperluan keluarganya.

“Tipu kalau tidak sedih apabila kerja 12 jam, tetapi pendapatan tidak sampai RM100. Purata pendapatan saya hanya RM2,000 sebulan yang hampir keseluruhannya digunakan bagi membayar pinjaman bank, bil utiliti selain perbelanjaan persekolahan dua anak,” jelasnya.

“Sekarang sukar hendak dapat jarak jauh-jauh sebab ramai penghantar makanan. Paling jauh pun adalah 25 kilometer dengan meraih RM20 bagi satu-satu perjalanan.

“Memang tiada istilah ‘berhibur’ bagi kami sekeluarga. Kalau tidak dapat sasaran (pendapatan) pada satu-satu bulan maka saya dan isteri terpaksa memotong perbelanjaan harian untuk kegunaan kemudian hari,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Wan Ridhuan Salleh, 30, yang masih bujang juga terpaksa berjimat cermat memandangkan pendapatan bersihnya adalah RM800 sebulan selepas gaji diperolehi digunakan bagi membayar komitmen sebanyak RM1,000.

Dia yang telah empat tahun menjadi pekerja tetap industri tersebut turut mengakui situasi industri tersebut semakin ‘tenat’ ketika ini apabila ramai sekadar memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN