PETALING JAYA – Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) kini aktif melaksanakan pelbagai usaha dan kerjasama dengan syarikat dari luar negara bersesuaian dengan misinya untuk memenuhi kehendak pasaran halal pengguna sekali gus menguasai segmen berpotensi berkenaan.
Pencapaian terbaik syarikat adalah menjadi syarikat farmaseutikal pertama yang menerima pensijilan halal daripada Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk satu produk onkologi yang dikilangkan di kemudahan Ramuan Farmaseutikal Aktif Poten Tinggi (Highly Potent Active Pharmaceutical Ingredients) yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pencapaian tersebut adalah tambahan terbaharu pada prestasi halal syarikat, yang mana kesemua produk yang dikilangkannya adalah 100 peratus halal.
“Kami sentiasa meneruskan usaha untuk memenuhi keperluan khusus dalam kalangan pesakit dan pengguna seperti farmaseutikal halal serta produk-produk berasaskan tumbuhan.
“Pencapaian penting kami terus menjadi kebanggaan, seperti menerima pensijilan halal bagi ubat kanser oleh Jakim yang juga pertama seumpamanya di dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Leonard menjelaskan, Duopharma Biotech juga telah menjalin usaha sama dengan sebuah syarikat Korea Selatan, SCM Lifescience, Inc. (SCM Lifescience), untuk mengedarkan rangkaian produk pertumbuhan rambut Iroro yang dibangunkan menggunakan teknologi sel induk. Projek tersebut telah menerima pengiktirafan halal.
Tambah beliau, syarikat juga bekerjasama dengan The Live Green Co yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk membangunkan rangkaian produk Penjagaan Kesihatan Pengguna (CHC) yang tidak mengandungi sebarang ramuan berasaskan haiwan, sintetik atau diproses secara ultra bagi memenuhi permintaan terhadap makanan kesejahteraan dan farmaseutikal yang lebih lestari. -KOSMO!ONLINE
















