fbpx
INDIVIDU perlu memiliki sosial media seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Adab makin terhakis dalam masyarakat negara ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ILMU semakin tinggi, adab semakin kurang, kata-kata ini sedikit sebanyak menggambarkan senario yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.

Pada saat kemodenan menjadi gaya hidup, terdapat segelintir masyarakat dilihat memaparkan sikap seperti manusia tidak bertamadun.

Bukan sekadar bicara tin kosong, banyak video yang tular di laman sosial memaparkan beberapa kandungan yang tidak menyenangkan.

Lelaki berkasar dengan wa­nita, remaja memaparkan gaya hidup percintaan menjengkelkan, pelanggan mengherdik peniaga mahupun orang tua diperlekehkan atas tiket eksperimen sosial, semua ini acap kali ditayangkan dan dilihat generasi sekarang.

Tidak hanya itu, netizen di sebalik akaun palsu atau asli sewenangnya menghujani ruangan komen dengan kritikan dan pandangan bebas tanpa mengira sensitiviti mahupun impak negatif daripada kata-kata mereka.

Dalam sedar mahupun tidak, manusia kini sudah kalah dengan emosi dan keinginan untuk menyerlah dengan mengetepikan adab yang seharusnya menjadi jati diri masyarakat Malaysia.

Setiap agama mendidik pe­nganutnya supaya sentiasa bersikap baik dengan bertunjangkan adab sopan dan tatasusila.

Malah, budaya masyarakat Nusantara juga kaya dengan cerita yang memaparkan sopan santun, budi pekerti dan kaya dengan adab.

Namun, mengapa pada ketika ini yang terpapar di pandangan mata adalah sikap buruk serta nilai-nilai yang tidak patut menjadi tatapan.

Mungkin bukan semua, tetapi jika yang segelintir tidak berubah, nescaya ia akan menjadi barah yang semakin merebak.

Perbincangan penulis dengan Timbalan Pengarah Institusi Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib cuba untuk me­rungkai apa yang menjadi punca perkara ini berlaku.

Menurut beliau, secara amnya agak sukar untuk melatarkan dari segi susur masa bahawa ge­nerasi kini telah terhakis adab dan adat berbanding zaman tradisi yang telah merakamkan nilai adab menerusi peribahasa atau peristiwa sezaman itu.

Bagaimanapun, ada beberapa faktor perubahan adab yang dirasakan terhakis yang tidak lagi sesantun dahulu.

“Pertama ialah kesan globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan menyebabkan pendedahan nilai budaya yang berbeza menyerap masuk menerusi visual (video, TikTok, filem) terutama kepada generasi muda.

“Kedua, nilai budaya sopan santun memerlukan proses sosial melibatkan keluarga dan komuniti yang saling menjaga.

“Jika nilai keluarga telah berubah disebabkan kahwin campur, perceraian, atau yatim piatu, secara tidak langsung nilai, adab dan etika sangat dipengaruhi oleh institusi sekitar terutama dalam proses tumbesaran tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini

Tambahnya, faktor ketiga adalah kesan kemajuan teknologi yang melekakan generasi muda dengan permainan video dan media sosial.

Ujarnya, platform ini memaparkan kandungan interaksi dalam bentuk teknologi virtual serta kurang interaksi sesama manusia secara langsung.

“Bayangkan dalam sebuah rumah, anak dan emak menggunakan aplikasi permesejan WhatsApp untuk berkomunikasi.

“Bahasa netizen tidak sama dengan bahasa berinteraksi bersemuka dan kemungkinan itu ada jika suatu hari nanti, lingo itu menjadi pertuturan harian ge­nerasi akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN