PETALING JAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengalu-alukan alumninya memeriahkan program Alumni Balik Kampus (ABK) UKM 2026 bermula 18 hingga 21 Jun, sempena sambutan Hari Alumni UKM yang diraikan pada setiap 23 Jun.
Pusat Perhubungan Alumni UKM menerusi kenyataanya memaklumkan, penganjuran program pada tahun ini amat bermakna kerana ia merupakan tahun kedua program Alumni Balik Kampus dilaksanakan selepas menerima sambutan menggalakkan pada tahun sebelumnya.
“ABK bukan hanya sekadar program reunion (perjumpaan) atau pertemuan semula rakan-rakan lama.
“Lebih daripada itu, program ini menjadi platform untuk menghimpunkan kembali warga alumni daripada pelbagai generasi, bidang dan latar belakang bagi memperkukuhkan hubungan dengan alma mater,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, program seperti ABK menjadi medium penting untuk menyatukan semula alumni dan membuka ruang kerjasama lebih luas antara universiti dan graduannya.
“Alumni UKM kini berada dalam pelbagai sektor penting negara termasuk pentadbiran awam, korporat, pendidikan, keusahawanan, teknologi, media dan industri kreatif.
“Kehadiran mereka dalam satu platform besar seperti ABK 2026 memberi peluang kepada perkongsian pengalaman, idea dan peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada universiti serta masyarakat,” katanya.
Sementara itu, sambutan Hari Alumni UKM yang diraikan setiap 23 Jun adalah signifikan dalam sejarah universiti ini kerana merupakan tarikh berlangsungnya konvokesyen pertama UKM pada tahun 1973 diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia.
Antara antara program utama bakal berlangsung termasuk Bacaan Yasin dan Forum Perdana Alumni, Konsert Gala Alumni: Melodi Sepanjang Zaman, Senamrobik dan Sukan Alumni, Hari Terbuka Antara Kolej serta Hi-Tea Alumni UKM.
Hi-Tea Alumni UKM akan menjadi acara kemuncak menghimpunkan alumni, pengurusan universiti, tokoh-tokoh alumni serta rakan strategik UKM dalam suasana penuh eksklusif dan bermakna. – KOSMO! ONLINE













