SEGELINTIR bakat baharu lazimnya memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadi, lebih-lebih lagi jika membabitkan status diri. Mereka sedar, kedudukan yang masih ‘hijau’ akan menenggelamkan tumpuan karier jika kisah cinta yang dijual ke khalayak.
Bagaimanapun, setiap orang mempunyai pendekatan berbeza. Begitu juga dengan sepotong nama Shalma Eliana yang memilih terbuka dalam soal cinta. Seiring hayat karier yang berusia dua tahun, sepanjang tempoh tersebut juga, pucuk muda itu sudah menjalin percintaan dengan penyanyi Ismail Izzani.
Kisah cinta mereka tersulam penuh warna sejak 2018.
Mesra disapa sebagai Yana, akuinya keterbukaan mereka mempamerkan hubungan istimewa media sosial mengundang banyak reaksi daripada pelbagai pihak.
“Saya pernah terima mesej berbaur ugutan selain dikatakan muka nampak tua daripada usia. Malah, lebih pedih lagi, ada yang melabelkan saya sebagai ahli neraka. Banyak lagi perkara buruk ditulis tentang saya.
“Lebih memburukkan keadaan, menerusi dalam Instagram Mail (Ismail) ada yang sanggup mencederakan diri sendiri demi meraih perhatiannya.
“Bermula dari situlah saya menyekat mesej-mesej yang berbaur negatif dan pelik. Saya malas mahu layan dan jika masih ada yang kecam, saya akan buat tak endah sahaja,” ujarnya tertib menyusun kata-kata.

Diasak dengan pertanyaan populariti yang diraih hari ini konon-kononnya sekadar bersandarkan status kekasih kepada Ismail, penyanyi berusi 20 tahun itu tidak melatah. Dia menerima skeptikal tersebut dari perspektif positif.
Baginya, dia sedang mengalas tanggungjawab besar untuk membuktikan kepada khalayak bahawa muzik ialah jiwa raganya.
Hidupnya bukan semata-mata bertongkatkan status teman wanita kepada penyanyi lelaki yang digelar Justin Bieber Malaysia itu.
“Awalnya saya ada terfikir juga jika kisah cinta kami akan mengganggu karier nyanyian tetapi Mail yang mulakan dulu berkongsi tentang saya dalam Instagram. Pada awalnya saya enggan berkongsi kisah kami.
“Apabila difikirkan semula, saya dan Mail dalam industri yang sama, kami fikir boleh gunakan kelebihan itu untuk menghasilkan lebih banyak karya bersama.
“Namun, saya perlu ada sebab kenapa orang perlu tengok saya dalam industri. Jadi salah satu jalannya dengan menghasilkan banyak muzik.
Bila aura positif itu hadir, akan mendekatkan saya dengan peminat.

“Saya kena bekerja keras untuk kejar apa yang diminati. Jika sudah berjaya buktikan kemampuan, label ‘kekasih Ismail Izzani’ itu lama-kelamaan akan hilang apabila orang lihat diri saya sebagai Shalma Eliana,” katanya yang memberitahu kekasihnya itu pendukung kuat yang mengajar dirinya membuang perasaan malu tatkala berhadapan khalayak.
Pasang niat
Adik kepada pengacara Shalma Ainaa itu juga tanpa berselindung mengakui, keluarga turut maklum tentang hubungan cinta mereka.
“Keluarga pernah cakap bila saya masuk dalam industri, orang akan kenal saya sebagai kekasih Ismail Izzani.
“Ya, keluarga Mail dan saya masing-masing sudah maklum dengan hubungan ini. Mail seorang yang kelakar dan selesa dengan keluarga saya.
“Begitu juga dengan ibu Mail yang terlalu baik dan dia seolah-olah menyambut baik kehadiran saya dalam keluarga mereka. Sebelum ini, Mail pernah juga ikut saya dan keluarga bercuti bersama-sama.
“Tiada apa yang perlu kami sorokkan lagi,” kongsinya yang baru menamatkan pengajian Komunikasi dan Pengajian Media peringkat diploma di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Diusik dengan soal pertunangan, sebuah fasa seterusnya sebelum ke peringkat serius, Shalma lantas memberitahu memang sudah memasang niat ke arah itu.
“Bertunang? Tak ada yang mustahil bagi saya. Niat untuk ke fasa yang lebih serius itu memang sudah lama ada.
“Bahkan dalam mana-mana hubungan, mesti ada pasangan lain yang sependapat dengan saya untuk bawa ke fasa seterusnya. Cuma, bukan sekarang sebab kami muda.
“Kalau ikut ibu dan bapa saya, mereka cakap umur 25 tahun sebagai waktu sesuai untuk berkahwin. Kiranya saya ada lima tahun lagi untuk nikmati kehidupan sebelum benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar,” ungkap wanita berzodiak Aries itu.
Aroma biasan perasaan
Beralih dari kisah cinta kepada karier, Shalma kini muncul dengan single terbaharu berjudul Aroma. Berbanding, dua lagu terdahulu, Janji Terindah dan Mahukah Kamu, Aroma memperlihatkan kematangan suara dan perwatakan Shalma.
“Lagu-lagu sebelum ini membawa mesej ringan seiring dengan umur saya yang masih belasan tahun.
“Menerusi Aroma saya cuba menampilkan sisi matang. Lagu yang ada sedikit kaitan dengan kisah hidup saya ini bukan sahaja sarat emosi malah penuh bersemangat.
“Lagu ini meraikan wanita yang mempunyai jati diri yang kuat, wanita yang tidak biarkan maruah dirinya terus dipijak dan tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
“Lagu ini membawa mesej sayangi dan hargailah diri sendiri kerana hubungan yang paling penting dalam hidup kita adalah hubungan dengan diri sendiri,” ulasnya panjang lebar mengenai buah tangan terbaharu hasil sentuhan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat itu.
Meletakkan harapan agar Aroma mudah diterima, Shalma yakin lagu berkenaan sangat dekat dengan diri mana-mana wanita, khususnya golongan yang masih muda.
“Aroma boleh membawa banyak maksud. Paling penting buat saya ialah pendengar boleh kaitkan dengan lagu ini dengan diri masing-masing. Saya harap dengan lagu ini anda tidak lagi berasa keseorangan,” akhirinya.















