fbpx
ANDMESH KAMALENG

Janji buaian jiwa Andmesh Kamaleng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIBIRNYA tidak pernah lekang dengan senyuman. Setiap kali diajukan soalan, lelaki bertubuh gempal dan berkulit hitam manis itu akan menjawab dengan tenang, namun penuh makna.

Butiran katanya tersusun. Sesekali raut wajahnya nampak berkerut, mungkin untuk menangkap pengertian yang cuba disampaikan media dek pemahaman bahasa yang mungkin masih belum terbiasa di halwa telinganya.

Namun bagi penyanyi dan komposer asal Seberang itu, kesempatan menjejakkan kaki ke Malaysia buat pertama kalinya umpama sebuah mimpi menjadi kenyataan yang telah sekian lama tergantung di langit impian.

“Mi goreng mamak sedap. Rempahnya terasa. Sehinggakan saya bungkus (tapau) untuk dibawa pulang makan di hotel.

“Teh aisnya juga enak, walaupun saya tersalah pesan minuman. Saya mahu teh manis dingin (teh ‘o’ ais), tapi yang dihantar teh susu,” kata Andmesh dengan wajah polos ketika ditanya tentang Malaysia.

Impian

Tambah lelaki berusia 26 tahun itu, dia juga berkesempatan melihat dengan mata sendiri bangunan ikonik kebanggaan rakyat Malaysia, Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang tersergam di depan mata.

Kata Andmesh, sejak bergelar penyanyi usai dijulang sebagai juara program realiti, Rising Star Indonesia musim kedua pada 2017, dia telah mencatat salah satu impian untuk mengadakan konsert di Malaysia suatu hari nanti.

ANDMESH berpegang prinsip mengikut gerak hati dalam soal menjayakan persembahan, dia akan mengikut idea dan kreativiti sendiri tanpa meminta pandangan pihak lain.

“Impian saya untuk mengadakan konsert di Malaysia sudah ada sejak sekian lama. Bahkan, ada dalam kalangan ahli keluarga saya juga bekerja di sini sebagai tenaga kerja Indonesia (TKI),” katanya.

Mengambil masa selama enam tahun bagi merealisasikan impiannya, kata Andmesh, dia mahu mempersiapkan diri dengan karya-karya hebat sebelum layak untuk menghiburkan peminat di Malaysia.

“Mengapa saya ambil masa yang lama untuk ke sini (Malaysia)? Kerana saya mahu mempersiapkan karya yang terbaik. Bukan cuma ada satu atau dua lagu sahaja.

“Saya mahu adakan persembahan yang punya cerita dan konsep.

“Tidak hanya datang untuk menyanyi dan pulang tanpa meninggalkan apa-apa kesan.

“Saya mahu kongsikan semua lagu yang saya tulis kerana setiap karya itu mempunyai ceritanya masing-masing,” tuturnya bersemangat.

Peminat

Keterujaan pemenang Artis Solo Pria (Lelaki) Terbaik Anugerah Muzik Indonesia 2019 itu berganda apabila kehadirannya pada 4 Jun nanti disambut mesra peminatnya di sini.

Bahkan sejujurnya Andmesh sendiri tidak menyangka, mempunyai sejumlah besar peminat yang menantikan penampilannya untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia.

ANTARA perkara membimbangkan Andmesh adalah persoalan bagaimana jika persembahannya kelak mengecewakan peminat yang meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Saya tahu punya peminat yang di Malaysia selepas melancarkan album Cinta Luar Biasa, tetapi saya sendiri tidak menyangka memiliki peminat yang ramai dari Malaysia dan perkara itu membuatkan saya sangat gembira.

“Saya tidak kisah jika mereka tidak mengenali siapa Andmesh Kamaleng, asalkan mereka tahu karya-karya saya,” ujarnya.

Cinta

Bercerita tentang konsep persembahan yang bakal ditampilkan, Andmesh merancang mengetengahkan kisah cinta ‘membuai’ jiwa peminatnya pada malam konsert di Dewan Plenary, KLCC itu nanti.

“Konsep saya adalah cinta. Bukan cinta palsu dan bukan cinta hanya sekadar kata.

“Kebanyakan karya saya bersifat galau yang dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadi.

SELAIN lagu Sial dendangan Mahalini, Andmesh juga merupakan komposer lagu Terlalu Berharap nyanyian Rossa.

“Saya seorang yang perahsia. Jadi apabila saya menulis sesebuah lagu, karya itu mewakili isi hati saya sebenarnya,” katanya.

Sempat berkongsi pengalaman kisah hidupnya, Andmesh mengakui cintanya pernah beberapa kali terkandas dan semua itu diluahkan menerusi karya lagu.

“Saya sendiri sudah beberapa kali putus cinta. Salah satu lagu saya berjudul Ku Mau Dia mengisahkan percintaan saya yang tidak kesampaian kerana perbezaan keyakinan (agama).

“Saya harus berterima kasih dengan insan yang pernah singgah di hati saya kerana daripada situ, saya belajar untuk menjadi yang lebih baik,” kata penulis lagu yang kini tular, Sial dendangan Mahalini itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN