fbpx

Geng Ayoi tumpas, 26 rangka motosikal ditemui dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno menunjukkan 26 rangka motosikal yang dibuang dalam sungai ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menemui 26 rangka motosikal yang dibuang di sungai Kampung Mulia Gombak, Selangor, selepas menahan tiga lelaki termasuk dalang utama yang bernama ‘Ayoi’, 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan yang kehilangan motosikal jenis Honda EX5, November tahun lalu.

Katanya mangsa kehilangan kenderaan tersebut di belakang Vavarian Auto Jalan Segambut, di sini.

“Bertindak di atas laporan, sepasukan Polis daripada Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul membuat serbuan terhadap tiga suspek di sekitar Setapak dan Gombak berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Kita berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

“Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, hasil semakan nombor casis oleh Forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

“Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

“Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal tersebut.

“Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum ianya dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak 23 kes kecurian motosikal, dimana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

“Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI