SEKEPING foto wajah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kelihatan sugul sambil memakai sehelai kemeja-T lusuh tanpa lengan berjaya mencuri perhatian pengguna Instagram baru-baru ini.
Foto tersebut yang berlatarbelakangkan sebuah kawasan perumahan setinggan tampak begitu ‘hidup’ sehingga membuatkan pengguna internet tertanya-tanya keasliannya.
Ternyata, foto itu sebenarnya merupakan imej yang dihasilkan oleh seorang perunding teknologi maklumat dari India, Gokul Pillai dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Nama jejaka berusia 32 tahun itu mula menjadi sebutan selepas dia memuat naik foto konsep sama membabitkan beberapa bilionair lain termasuk Mark Zuckerberg dan Jeff Bezos yang yang dikenali menerusi siri ‘Slumdog Millionaires’.
Pillai berkongsi bahawa koleksi foto AI yang dimuat naik di Instagram miliknya itu ternyata menjadi bahan bualan netizen.
Malah, teknologi itu boleh digunakan untuk menyebarkan berita dan maklumat palsu.

Memetik laporan temu bual Pillai bersama stesen televisyen CNBC, jejaka yang menetap di bandar Mysore, Karnataka itu berkata, dia mula terlibat dalam bidang fotografi dan seni digital sejak lapan tahun lalu.
“Saya mula memuat naik foto-foto di Instagram sejak 2015 dan sudah lama berada dalam bidang ini.“Namun, selepas program kecerdasan buatan, Midjourney diperkenalkan pada tahun lalu, saya mahu mencubanya,” katanya.
Midjourney merupakan program dan perkhidmatan kecerdasan buatan generatif yang dicipta dan dihoskan oleh makmal penyelidikan bebas berpangkalan di San Francisco, AS.
Midjourney membantu pengguna menjana imej yang cantik, unik dan nampak realistik dengan mudah.
Akui Pillai, imej pertama yang dihasilkan menggunakan Midjourney tidak begitu baik, sekali gus menjadikan lelaki itu berhenti daripada terus menggunakannya.
Bagaimanapun, apabila versi baharu aplikasi itu muncul pada tahun lalu, Pillai berpendapat bahawa aplikasi tersebut menghasilkan imej yang amat realistik.
Disebabkan itu, dia mula lebih serius terhadap penghasilan imej AI sejak November lalu.
Ujar Pillai, menerusi bantuan aplikasi suntingan yang lain seperti Photoshop dan Lightroom, dia berjaya menghasilkan imej AI yang tampak ‘hidup’.
Namun, dia turut mengakui bahawa pengalaman dalam bidang fotografi yang dimilikinya amat membantu dalam menjana imej menggunakan AI.
“Foto yang dihasilkan secara terus di aplikasi AI tidak begitu estetik atau kurang ‘kena’ pada mata saya.
“Gambar-gambar yang saya ambil menggunakan kamera biasanya tertumpu kepada gaya tertentu.
“Justeru, saya akan membuat suntingan gambar AI mengikut kaedah tertentu bagi menjadikannya tampak sama dengan foto yang saya ambil, sekali gus menjadikan imej kelihatan ‘hidup’,” tuturnya.
Pillai berkata, proses menghasilkan gambar dengan menggunakan teknologi AI bukanlah sesuatu yang mudah.
Dia memaklumkan, lazimnya, ia memakan masa yang agak panjang dan bergantung kepada tahap kerumitannya.
Malah, dia jarang sekali dapat menghasilkan imej yang dikehendaki tanpa perlu mengubahnya sebanyak lapan atau sembilan kali.
“Biasanya, saya sudah memikirkan jalan cerita bagi imej yang ingin dihasilkan.
“Itu pun sudah mengambil masa sekitar tiga hari untuk menghasilkan antara enam hingga 10 imej bagi satu siri,” ujar Pillai.

Imej AI yang dihasilkan nampak cukup realistik sehingga berpotensi untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
Namun, Pillai berkata, terdapat cara untuk mengenal pasti sama ada imej yang dilihat itu merupakan imej sebenar atau dihasilkan menggunakan aplikasi AI.
“Agak mudah untuk membezakan imej sebenar dengan imej AI.
“AI ada kalanya sukar untuk meniru beberapa ciri yang ada pada manusia dengan tepat.
“Sebagai contoh, ia sukar untuk menghasilkan imej jari-jemari yang tampak realistik.
“Namun, bagi imej seperti pemandangan, perbezaannya tidak begitu ketara dan agak sukar untuk membezakannya,” jelasnya.
Kehebatan imej yang dihasilkan Pillai membolehkannya mempunyai hampir 60,000 pengikut di Instagram.
Populariti yang diraih Pillai juga adalah kerana dia gemar bereksperimen dengan imej yang dihasilkan dan munculnya siri foto Slumdog Millionaires pada bulan lalu.
Kongsinya, idea itu mula timbul selepas melihat satu hantaran di internet tentang bayangan watak adiwira sekiranya mereka menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.
“Saya cukup berminat dengan idea tersebut. Dari situ saya mula bereksperimen dengan imej AI.
“Saya mula menjadi lebih kreatif dengan imaginasi saya serta membayangkan perkara-perkara yang mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelum ini. Jadi, terhasillah siri bayangan jutawan dunia sebagai orang miskin,” ujarnya.
Tambah Pillai, dia juga menganggap bahawa teknologi AI mampu mengubah landskap seni di India.
“Orang ramai mula sedar akan ‘kuasa’ AI. Malah, pelukis tradisional juga sudah mula menggunakan teknologi ini.
“Jika tiga bulan lalu, pelukis ini menentang AI, namun kini mereka sudah menggunakannya. Ini kerana, mereka faham bahawa keengganan menerima perubahan hanya akan merugikan diri sendiri,” katanya.














