fbpx

Dipenjara tiga bulan, denda RM3,000 halang tugas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majid (tiga dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini selepas dihukum penjara tiga bulan dan denda RM3,000 atas pertuduhan menghalang penjawat awam.

SUNGAI SIPUT – Padah melarikan diri ketika diserbu sehingga hampir melanggar anggota polis, seorang lelaki dihukum penjara selama tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Norhabsarina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Majid Mat Aisha, 48, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Majid didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Inspektor Mohd. Razif Abdul Hatta, dengan melarikan diri semasa pemeriksaan di hadapan sebuah rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun Salak, Salak Utara di sini pada pukul 12.20 tengah hari 27 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Norhabsarina kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM3,000 terhadap tertuduh. Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Dalam prosiding sama, Majid dan tiga rakannya turut didakwa atas pertuduhan berkaitan dadah.

Muhammad Fadzli Ahmad, 43, dan Mohd. Azudin Ab. Ghani, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 28.19 gram di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan ini, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang boleh dihukum gantung sehingga mati jika sabit kesalahan.

Muhammad Fadzli dan Mohd. Azudin turut didakwa memiliki dadah jenis heroin masing-masing seberat 0.38 gram dan 0.62 gram di tempat dan waktu yang sama yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majid dan seorang lagi rakannya, Ahmad Kamil Ismail, 47, turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini pada pukul 8.33 malam hari sama.

Untuk kesalahan ini, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan dan dikenakan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun.

Norhabsarina membenarkan Ahmad Kamil diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala tiga tertuduh lain pula tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula semua kes berkaitan dadah.

Kosmo! Online pada 27 Oktober lalu melaporkan, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu lelaki disyaki pengedar dadah dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Salak Baru, di sini.

Tindakan itu diambil selepas lelaki terbabit bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota polis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI