ARSENAL telah mengejutkan ramai peminat bola sepak seluruh dunia, bahkan penyokong mereka sendiri apabila menampilkan prestasi menakjubkan tanpa disangka-sangka musim ini.
Menariknya, tiada siapa meramalkan skuad bimbingan pengurus muda, Mikel Arteta akan berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), sedangkan hampir 75 peratus kedudukan takhta musim ini dihuni skuad The Gunners itu.
Tidak dinafikan, ramai yang sinis apabila Arsenal bermula cemerlang kerana lazimnya kelab utara London itu akan koyak mahupun pancit sebaik sahaja sambutan Boxing Day menjengah tiba.
Bagaimanapun, memasuki bulan Januari, Februari dan Mac, sangkaan nyata meleset apabila menyaksikan anak-anak buah Arteta tampil agresif dengan permainan menarik bagi meraih kemenangan demi kemenangan untuk kukuh di singgahsana.
Situasi itu mula memberi keterujaan serta kepercayaan kepada barisan pemain, malah para penyokong bahawa sudah tiba masanya Arsenal menjulang kejuaraan EPL buat kali pertama sejak 2004.
Keyakinan semakin menjulang tinggi bagaikan tidak mampu dibendung lagi sebaik sahaja memasuki awal April apabila Arsenal berjaya mencipta jurang lapan mata untuk selesa di puncak liga dengan pesaing terdekat, Manchester City selepas menewaskan Leeds 4-1 di Stadium Emirates.
Ku sangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis yang mengundang. Pertembungan dengan Liverpool menjadi titik tolak bahana buat Arsenal apabila kelebihan mendahului aksi 2-0 disia-siakan dengan keputusan akhir seri 2-2.
Begitu juga dengan aksi seterusnya menentang West Ham yang berkesudahan 2-2, kemudian Southampton (3-3) sebelum diganyang City 4-1 pada penghujung April.
The Gunners dilihat mula koyak selepas digulingkan dari takhta oleh rejim Pep Guardiola. Meskipun perit selepas dipintas, skuad Arsenal masih menaruh harapan untuk merampas kembali singgahsana, namun harapan yang ada hancur berkecai susulan tewas mengejut 0-3 kepada Brighton, Ahad lepas.
Bagaikan telur di hujung tanduk, sekelumit penyokong Arsenal masih menyimpan harapan pada saat-saat akhir kerana secara matematik, The Gunners masih berupaya menjuarai EPL dengan berharap berlaku sedikit keajaiban.
Kelab utara London itu ada dua baki aksi menentang Nottingham Forest pada 20 Mei, sebelum perlawanan terakhir bertemu Wolves (28 Mei) dan maksimum mata yang mampu Arsenal capai musim ini ialah 87 mata.
The Citizens pula memiliki tiga baki aksi iaitu menentang Chelsea pada 21 Mei, Brighton (24 Mei) dan Brentford (28 Mei), namun kepadatan jadual memungkinkan City keciciran mata, apatah lagi perlu menentang Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Justeru, Arsenal perlu berharap jadual padat City bakal memenatkan barisan pemainnya dengan perlawanan menentang Brighton pertengahan minggu boleh menjadi sebab musabab skuad Guardiola terlepas gelaran trebel musim ini.














