fbpx
SETIAP kenderaan yang membawa murid sekolah perlu mendapatkan permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa. – GAMBAR HIASAN

Bas sekolah haram kuasai Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dianggarkan terdapat sebanyak 4,000 buah bas sekolah yang beroperasi secara haram di kawasan Lembah Klang dan jumlah itu menyamai jumlah bas sekolah yang berdaftar dengan pihak berwajib.

Lebih mengejutkan, operasi kenderaan haram itu agak sukar untuk dikesan kerana warna bas tersebut sama seperti bas sekolah biasa yang mempunyai permit.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya Dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, kegiatan licik pengusaha itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan berhubung perkhidmatan bas sekolah yang tidak berdaftar di Puchong, Selangor.

“Pemeriksaan mendapati, pengusahanya menjalankan operasi bas sekolah haram sejak lebih tiga tahun lalu tanpa Lesen Kende­raan Pe­ngangkutan Awam (PSV) dan tidak membuat pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Selain itu, kenderaan haram tersebut tidak mempunyai permit yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Pemandunya pula adalah warga asing. Paling mengejutkan, kenderaan itu ‘kosong’ kerana tiada insurans kenderaan serta cukai jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha bas sekolah haram itu boleh mengancam nyawa terutama kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah setiap hari.

Mohd. Haron turut mendedahkan, selain bas sekolah, terdapat kenderaan persendirian seperti van turut digunakan bagi mengangkut murid-murid ke sekolah.

Trend terbaharu itu semakin membimbangkan kerana ia melibatkan soal keselamatan terutamanya anak-anak kecil.

“Pekung mereka terbongkar selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan baru-baru ini selepas menerima aduan daripada individu dan persatuan,” katanya.

Mohd. Haron tidak menolak kemungkinan masalah itu berlaku disebabkan ada ibu bapa menghadapi masalah kewangan memandangkan tambang kereta persendirian lebih murah.

“Selain kereta persendirian, terdapat pengusaha yang mendaftarkan sebuah bas sekolah, manakala selebihnya beropeasi secara haram. Mereka mengaburi mata ibu bapa kononnya semua kenderaan tersebut diperakui oleh pihak berkaitan.

“Pengusaha ini menjadi tamak hingga lupa tanggungjawab yang diamanahkan oleh pelanggan. Sebagai ibu bapa, mereka berhak melihat cukai jalan, permit APAD, lesen PSV dan lesen memandu,” jelasnya.

Mohd. Haron menjelaskan, tindakan itu seolah-olah hanya mahu mendapatkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan soal keselamatan murid.

“Apabila ditegur, mereka (pengusaha) beri alasan masih dalam proses mendapatkan permit. Tunggu hendak daftar, tiga tahun sudah berlalu. Mungkin mereka seronok berniaga secara
haram kerana tidak terikat dengan undang-undang,” tegasnya.

Mengulas mengenai kenderaan persendirian, lelaki itu berkata, biasanya pemandu terdiri daripada suri rumah, lepasan sekolah atau bekas pemandu lori.

“Bebanan kos sara hidup dan dibuang kerja terutama selepas pandemik Covid-19 mungkin menjadi faktor mereka memilih kerja tersebut. Kita ada terima aduan kereta Perodua Kancil
membawa hampir 10 murid. Ia ibarat bom jangka, mungkin cajnya murah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN