PETALING JAYA – Sambal sedia dimakan, Village Park Nasi Lemak Sambal menjadi produk sulung yang ditawarkan di bawah Label Persendirian Jaya Grocer dan boleh didapati secara eksklusif di semua cawangan Jaya Grocer atau melalui saluran atas talian, GrabMart.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata, kerjasama dengan Grab Signature Brands merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti pengalaman membeli-belah di Jaya Grocer dengan penawaran produk istimewa yang sukar didapati di tempat lain.
“Idea di sebalik Label Persendirian Jaya Grocer adalah untuk membawa jenama terkemuka yang digemari rakyat Malaysia ke platform kami.

“Ia bukan sahaja membolehkan kami mengembangkan penawaran produk eksklusif di Jaya Grocer, malah menjadikannya lebih mudah didapati dan dinikmati rakyat Malaysia.
“Kami telah merancang lebih setahun untuk merealisasikan matlamat ini dan amat teruja untuk membawakan produk pertama, iaitu Village Park Nasi Lemak Sambal di rak jualan Jaya Grocer,” katanya pada majlis pelancaran di cawangan Jaya Grocer Starling Mall di sini semalam.
Label Persendirian Jaya Grocer dipilih dengan teliti bagi memenuhi cita rasa dan kualiti yang diharapkan pelanggan melalui Grab Signature Brands, iaitu koleksi restoran dan rakan kongsi peniaga yang digemari di GrabFood.
Restoran Village Park merupakan antara perniagaan nasi lemak yang terlaris di GrabFood.
Village Park Nasi Lemak Sambal dijual pada harga RM17.90 bagi setiap balang bersaiz 225 mililiter dan sesuai dinikmati bersama nasi atau mi selain dimakan bersama nasi lemak. -KOSMO!ONLINE














