KUALA LUMPUR – Keuntungan berlipat kali ganda diharapkan peniaga bazar Aidilfitri tahun ini selepas negara dilanda pandemik Covid-19 lebur apabila ada antaranya terpaksa menanggung kerugian mencecah hampir RM100,000 ekoran barangan tidak habis dijual.
Jika sebelum ini ada yang mampu meraih jualan hingga RM10,000 sehari, namun sepanjang tempoh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sebahagiannya hanya mampu membuat jualan RM1,000 sehari.
Malah sebahagian peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang ditemui menyifatkan kerugian yang dialami terburuk sepanjang lebih 50 tahun berniaga setiap kali musim perayaan.
Seorang peniaga pakaian tradisional, Khairul Arsyad, 26, berkata, dia kerugian lebih RM10,000 apabila banyak stok baju raya yang tidak dapat dijual sehingga kini ekoran orang ramai lebih banyak ‘mencuci mata’ daripada berbelanja.
“Stok baju raya banyak, macam baju kurung, kita tidak boleh bawa ke tahun depan atau tahun-tahun seterusnya kerana baju macam ini ada trendnya yang tersendiri.
“Bila jadi macam ini, mahu atau tidak, saya terpaksa lelong sehingga 70 peratus daripada harga asal, mana datang untung sebaliknya hasil jualan ini bagi menampung membayar sewa tapak bazar,” katanya.
Berkongsi luahan sama jurujual tekstil dikenali Desi Al-Wanti yang memaklumkan stok kain diimport tidak habis terjual dan situasi berkenaan berikutan kuasa membeli yang lemah.

Katanya, sebelum ini stok yang diambil akan habis dijual menjelang Aidilfitri, namun keadaan itu jauh berbeza pada tahun ini.
“Sebelum ini, tidak kira sepanjang Ramadan dan dalam minggu pertama atau kedua Aidilfitri masih banyak pelanggan dan jualan mampu mencecah puluhan ribu ringgit sehari.
“Namun ketika ini hendak dapat RM1,000 pun susah sangat. Dulu lepas raya pun orang beli baju untuk rumah terbuka. Perniagaan sekarang, sangat perlahan dan susah untuk dapat pelanggan,” luahnya.
Bagi peniaga songkok dan sampin, Gusman Normawan, 70, tahun ini merupakan sejarah terburuk perniagaannya selepas 53 tahun bertapak di Jalan TAR.
“Selepas bulan puasa, pelanggan tidak ramai. Kalau masa puasa boleh dapat sehingga RM1,000 sehari, tetapi ketika raya hanya RM150 atau RM100 sahaja.
“Jadi pendapatan pun memang kurang tetapi saya terpaksa kekalkan untuk menampung perbelanjaan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga jam tangan dikenali Humaira memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 untuk stok jualan raya, namun malangnya banyak jam tangan tidak terjual.
“Puasa sudah, raya pun hampir habis, stok jualan jam tangan masih banyak lagi tidak terjual, apa yang kami boleh buat sekarang ini cuma jual dengan harga yang lebih murah.
“Saya ingatkan raya tahun ini meriah dan ramai yang akan membeli, rupanya tidak, lagi teruk, perniagaan lepas raya lebih buruk dari apa yang saya bayangkan,” luahnya.
Menurut seorang peniaga tudung Muslimah, Ainun Bahrin, antara faktor jualan perlahan disebabkan waktu persekolahan yang dibuka dekat dengan raya.
“Bayangkan, tarikh persekolahan dibuka, hampir dengan hari raya puasa, jadi pelanggan pun memang akan berjimat dan tak mahu membeli.
“Saya harap, pihak berwajib boleh dengar keluhan kami, bantu kami. Perniagaan tahun ni saya cakap, memang tidak nampak arah,” katanya.














