fbpx

108 lokasi aduan tanah runtuh di Kuala Lumpur sejak Disember 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian tanah runtuh di Wisma YPR, Off Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, tengah malam semalam yang mengorbankan seorang mangsa.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 108 lokasi aduan mengenai kejadian tanah runtuh melibatkan cerun berisiko yang memerlukan tindakan selanjutnya daripada pihak-pihak bertanggungjawab, sejak Disember 2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, 59 aduan melibatkan rezab jalan dan kerja-kerja pembaikan telah siap yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ujarnya, DBKL juga telah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan di 49 cerun di bawah tanggungjawab pihak persendirian dan dipantau dari semasa ke semasa.

“Unit Cerun DBKL sedang merangka dan bercadang untuk melaksanakan program melibatkan warga Kuala Lumpur menerusi sesi perjumpaan dan taklimat mengenai penyelenggaraan cerun di dalam kawasan persendirian.

“DBKL juga kini dalam proses menyediakan Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun di Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur selain memantau dengan lebih giat di lokasi berisiko tinggi.

“Selain itu, Sistem Amaran Awal akan diperkenalkan sebagai salah satu usaha pemakluman awal sekiranya terdapat kejadian pergerakan tanah dan kami juga akan berkolaborasi dengan NGO seperti Persatuan Geologi Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kamarulzaman, penyelenggaraan berkala ke atas cerun-cerun di dalam rezab jalan juga akan diteruskan DBKL menggunakan kontraktor berpenggal yang telah dilantik.

Dalam pada itu, kata beliau, pengurusan cerun di Kuala Lumpur melibatkan pelbagai pihak bergantung dan tertakluk kepada pemilikan tanah kawasan tersebut.

“Pihak DBKL akan mengambil tindakan segera apabila berlaku runtuhan meliputi tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Siasatan juga akan dijalankan bagi insiden cerun runtuh di rezab jalan dan kawasan di bawah kawalan DBKL, seterusnya pelaksanaan kerja-kerja baikpulih dengan segera,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga tempatan yang sedang bertugas di sebuah pondok pengawal maut apabila tertimbus oleh runtuhan batu penahan tebing di Wisma YPR, Off Jalan Syed Putra, di sini, semalam.

Pada 25 April lalu, satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di hadapan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI