BERBAKI 13 hari sahaja lagi cuti akhir persekolahan sesi 2015/2026 akan bermula. Inilah masa paling dinanti ramai ibu bapa memandangkan anak-anak akan bercuti panjang.
Disember juga merupakan bulan mereka yang bekerja akan menghabiskan cuti tahunan dan mahu meluangkan masa kualiti bersama keluarga masing-masing.
Ada yang barangkali merancang untuk bercuti dalam negara atau pulang ke kampung halaman menjenguk ayah bonda. Bagi yang ada rezeki lebih dan berkemampuan mungkin memilih berlibur di luar negara.
Apapun pilihan, nikmatilah detik ini sebaik-baiknya bersama yang tersayang. Tunaikan keinginan anak-anak yang dalam diam berharap ibu bapa mengetepikan soal kerja seketika dan memberikan fokus sepenuhnya kepada mereka.
Kadang tak perlu pun bawa ke tempat mahal atau hebat, apa yang anak mahu adalah meluangkan masa bersama-sama. Cukup hanya berkelah, bersantai di taman atau berkunjung ke tempat awam yang tidak mengenakan apa-apa bayaran.
Jadi soal kewangan bukan kekangan, tak mampu ke tempat berbayar, cari yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha untuk cipta memori manis bersama.
Memandangkan sekarang musim hujan, pilihlah destinasi percutian dengan bijak. Banyak negeri diuji dengan musibah banjir dan sekiranya hujan berterusan tidak mustahil berlakunya tragedi tanah runtuh dan kepala air.
Justeru, penting buatlah perancangan awal, selidik tempat yang mahu dituju sama sesuai dan selamat untuk percutian. Rajin-rajinkan diri semak berita dan aplikasi kecemasan untuk mengetahui cuaca terkini.
Dengan adanya persiapan awal juga kita akan lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan dan percutian akan jadi lebih lancar serta menyeronokkan. Sekiranya ada anak kecil pastikan segala keperluan mereka lengkap, jika perlu bawa mainan untuk menghilangkan rasa bosan mereka sekiranya terpaksa ‘berkurung’ dalam bilik penginapan gara-gara hujan.
Paling penting rancang masa bertolak dan periksa keadaan jalan raya bagi mengelakkan tersangkut lama dalam kesesakan lalu lintas.
Sebelum itu, periksa keadaan kereta, pastikan tayar, bateri, brek, lampu dan penghawa dingin berada dalam keadaan baik. Apatah lagi jika mahu menempuh perjalan jauh, aspek keselamatan wajib diberi perhatian.
Selain itu sediakan pakaian secukupnya, kasut yang sesuai, jaket, payung, baju hujan pakai buang.
Pastikan juga bawa bersama ubat-ubatan untuk seisi keluarga. Seperti ramai sedia maklum, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kesihatan mudah terganggu. Penting untuk ada ubat demam, selesema, batuk, vitamic C dan minyak panas, lebih-lebih lagi jika ada anak kecil atau warga emas.
Jangan lupa maklumkan kepada jiran, saudara-mara atau kawan mengenai percutian anda. Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, setidak-tidaknya ada yang tahu kedudukan terkini anda dan memudahkan segala urusan.
Dalam rancak mengatur percutian, jangan sampai terlebih belanja pula. Anak-anak masuk sekolah, banyak kena keluarkan duit. Pandai-pandailah susun kewangan.
Selamat bercuti!















