fbpx
Tangkap layar rakaman video berhubung perhimpunan Hari Pekerja yang berlangsung di hadapan Bangunan Maju Junction, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perhimpunan Hari Pekerja: Penganjur dakwa mesyuarat dengan polis sebelum berhimpun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – ‘Perhimpunan dilakukan secara aman, teratur dan kami sudah bermesyuarat dengan pihak polis awal lagi sebelum berbuat demikian’.

Itulah luahan Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan 1 Mei, Parameiswary Elumalai, yang ditemui pemberita selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, disini, hari ini berhubung Perhimpunan Hari Pekerja yang diadakan pada 1 Mei lalu.

Ujarnya, perhimpunan yang dilakukan di hadapan Bangunan Maju Junction dengan berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang (Belakang Bangunan South Tower) dan di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah dilakukan secara aman tanpa sebarang kerosakan.

“Hari ini saya dipanggil untuk memberi kenyataan kepada pihak polis. Kebanyakan soalan yang mereka tanya semua mereka (polis) sudah tahu jawapan. Soalan seperti siapakah penganjur, siapa bagi ucapan dan sebagainya.

“Ada satu soalan mereka tanya, adakah saya tahu Ketua Polis Daerah membantah pelaksanaan perhimpunan itu? Bagi saya soalan ini memang tidak masuk akal sedangkan kita sudah adakan mesyuarat dengan pihak polis awal lagi iaitu pada 27 Mei.

“Semasa mesyuarat itu, mereka sudah tahu kerana kita telah serahkan segala borang. Tambah pula perhimpunan ini sememangnya dilakukan setiap tahun. Ketika perhimpunan lalu pun, pihak polis ada di kawasan tersebut bagi mengawal lalu lintas,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Tegas Parameiswary, prosedur pengambilan kenyataan oleh pihak polis hari ini hanya merugikan masa kerana perhimpunan yang diadakan bersama 13 jawatankuasa penganjur itu juga diadakan secara bertanggungjawab dan penuh keselamatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy menganggap tindakan pihak berkuasa ini dianggap ‘ke belakang’ berbanding negara-negara lain yang mempunyai kebebasan untuk bersuara.

“Tujuan penting untuk kita beritahu pihak polis dahulu adalah untuk membantu penganjur dari segi trafik dan keselamatan. Apa yang sedang berlaku ini adalah membawa balik ke belakang apa yang sudah kita bawa ke depan.

“Kita sepatutnya perlu anjak daripada prosedur yang sudah lapuk dan membantu mana-mana perhimpunan yang sah dari segi undang-undang. Rakyat ada hak untuk keluar berhimpun untuk mengeluarkan isu-isu mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, polis membuka dua kertas siasatan berhubung Perhimpunan 1 Mei dan sidang akhbar gimik pelancaran Gerakan Rakyat yang berlangsung di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dua perhimpunan yang berlangsung serentak bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari itu didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Hasil daripada pemerhatian, didapati sekitar 200 orang menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Bangunan Maju Junction manakala kira-kira 30 orang menyertai perhimpunan di hadapan Kompleks SOGO.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN