KUALA LUMPUR – Majoriti pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi di sini terdiri daripada juruteknikal dan mereka yang bekerja sendiri atau dengan keluarga.
Penolong Pengarah (Pemulihan), Zuraidah Ayob berkata, latar belakang pelatih berusia 20-an hingga 40-an itu secara amnya datang dari pelbagai bidang pekerjaan seperti pengawal keselamatan dan ada juga yang tidak bekerja.
“Di sini kita terima pelatih yang datang secara sukarela seawal usia 18 tahun sehingga 55 tahun. Ada yang dari zaman belajar sudah terlibat dengan dadah, jadi keluarganya yang bawa mereka ke sini.
“Ada juga yang bekerja sendiri atau dengan keluarga seperti buka kedai makan atau restoran, tetapi majoritinya datang daripada bidang teknikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Puspen Sungai Besi di sini minggu lalu.
Ujar Zuraidah, berdasarkan trend pengakuan dan ujian urin yang dijalankan, kebanyakan pelatih adalah pengguna dadah sintetik jenis methamphetamine, diikuti dengan ganja dan heroin.
Mengulas lanjut, Zuraidah berkata, pada tahun 2022 berlaku peningkatan pelatih yang datang iaitu 101 orang berbanding tahun 2021 iaitu 90 orang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditamatkan menyebabkan ‘outreach’ bertambah.
“Jika dilihat pada statistik tahunan, secara puratanya seramai 100 orang pelatih yang datang ke sini dalam setahun. Untuk tahun ini sahaja sehingga bulan Mac, kami sudah terima kemasukan seramai 23 orang pelatih dan dijangka jumlah itu terus meningkat.
“Secara keseluruhan perkhidmatan termasuk pelanggan ‘outpatient’ dan rujukan serta advokasi, angka dilihat bertambah menjadi purata sebanyak 250 orang dalam satu-satu tahun.
“Bagi kes berulang, maksudnya pelatih yang dari sini dan datang semula ke sini, kita gelar sebagai ‘Second-Genth Client’. Tidak ramai, cuma dua hingga tiga orang dalam setahun,” ujarnya.
Tambah Zuraidah, dengan menggunakan Model i-Pulih Agensi Antidadah Kebangsaan yang terdiri daripada sembilan program, ramai pelatih berjaya menghabiskan tempoh pemulihan dalam masa ditetapkan.














