GEORGE TOWN – Perbuatan mengejek atau menyalahi individu yang mengalami masalah obesiti kononnya untuk memberi semangat bukanlah cara terbaik untuk membantu golongan berkenaan mengurangkan berat badan.
Pensyarah Perubatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Teoh Soo Huat, berkata, tindakan-tindakan sedemikan hanya akan menyebabkan individu tersebut malu, sekali gus menyebabkan mereka mengelak daripada mendapatkan rawatan.
Beliau yang juga Pakar Perubatan Keluarga dan Doktor Perubatan Obesiti menambah, terlalu berprasangka buruk dan melabel individu obesiti sebagai manusia malas dan gelojoh juga merupakan satu tanggapan yang tidak patut dilakukan.

“Perkara ini telah melanjutkan stigma berat badan sehingga menyebabkan diskriminasi kepada mereka.
“Hakikatnya, obesiti adalah sejenis penyakit kronik yang kompleks. Ia disebabkan faktor genetik, persekitaran obesogenik, penyakit-penyakit yang dihidapi (fizikal dan mental) dan ubat-ubatan yang digunakan.
“Ubat-ubat tertentu untuk rawatan kesihatan mental, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain dikenal pasti boleh menaikkan berat badan seseorang. Persoalannya, wajarkah kita menuding jari kepada pesakit obesiti sebagai malas dan gelojoh apabila mereka mengalami kenaikan berat badan akibat kesan sampingan ubat-ubat lain?,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Soo Huat memberitahu, tekanan emosi seperti marah, kecewa dan sedih juga dikaitkan dengan peningkatan hormon tekanan (cortisol) yang boleh meningkatkan berat badan.
“Hampir semua pesakit saya mendapatkan rawatan obesiti demi kesihatan yang lebih baik. Kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal, kualiti tidur yang terjejas (apnea tidur obstruktif) serta sakit sendi merupakan antara alasan-alasan utama mereka.
“Dalam kalangan pesakit obesiti wanita pula, penurunan berat badan telah disyorkan oleh doktor mereka sebagai salah satu rawatan sokongan untuk ketidaksuburan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi tahun 2019, satu daripada dua rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.














