fbpx

[VIDEO] Berkat Ramadan, solat tahajud – Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASIL perbincangan secara baik, Syamsul bersetuju melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menzahirkan rasa syukur apabila permohonan perceraian yang diajukan sudah dipersetujui suaminya, Syamsul Yusof untuk dilafazkan pada 18 April ini.

Katanya, persetujuan itu dicapai secara baik selepas dia dan Syamsul berjumpa dengan ditemani ahli keluarga masing-masing semalam bagi membincangkan syarat dan perincian lain.

“Alhamdulillah kami sudah berjumpa pada saat akhir untuk berbincang secara bersama mengenai semua terma serta syarat.

“Apa yang saya dan dia mahu berkenaan anak-anak, nafkah dan sebagainya dipericikan malam semalam yang kami selesaikan sekali. Alhamdulillah berkat bulan Ramadan dan tahajud semuanya dipermudahkan hari ini.

“Kita sudah boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya semua selesai. Tak perlu nak pening-pening lagi,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), sebentar tadi.

Pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, di sini, pagi tadi, proses berkenaan hanya berlangsung sekitar 10 minit berikutan segala syarat dipersetujui kedua-dua pihak.

Sementara itu, Syamsul pula enggan mengulas berkenaan hasil persetujuan yang dicapai di dalam dewan mahkamah.

“Semua sudah selesai. Ini semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih,” katanya ringkas sambil menuju ke tempat letak kereta dan terus berlalu.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd. Rais.

Kemelut rumah tangga pasangan tersebut bakal berakhir selepas pengarah sensasi itu bersetuju untuk melafazkan talak terhadap isteri pertamanya itu pada 18 April ini.

Perkara tersebut disahkan peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang menyatakan mereka sudah menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara aman.

“Masing-masing sudah setuju. Jadi kita akan datang minggu depan untuk mengesahkan perjanjian itu dan lafaz cerai.

“Tarikh baharu adalah 18 April bagi mencari persepakatan mengenai terma yang sudah pun dibincangkan.

“Pada hari itu, kita akan rekod di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi kerana membabitkan anak-anak memandangkan hal anak berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Selepas lafaz cerai juga kita akan rekodkan ke Mahkamah Tinggi membabitkan isu hadanah dan selepas itu baru kita akan jadikan perintah mahkamah,” katanya.

Berkenaan proses JKP, Akberdin berkata, semuanya kini sudah selesai sebaik kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan untuk memuktamadkan tarikh perceraian mereka.

“Tiada lagi proses JKP atau hakam kerana pada tarikh akan datang Syamsul sedia lafazkan cerai atas persetujuan bersama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Pada 7 Mac lalu pula, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes tersebut disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah mengajukan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Puteri Sarah dilaporkan nekad bercerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu sebaik Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI