TOKYO – Satu mesin layan diri yang disediakan di sebuah stesen kereta api di Jepun mendapat perhatian ramai apabila ia menjual pelbagai jenis daging beruang, lapor akhbar The Maniachi.
Mesin layan diri itu diletakan berhampiran pintu masuk ke kedai Tazawako Ichi berhampiran Stesen JR Tazawako.
Bekalan daging beruang itu diperoleh daripada pemburu tempatan dan kebanyakannya mendapat permintaan oleh penumpang kereta api.
Terdapat juga permintaan daripada penduduk di wilayah Kanto, sekitar Tokyo yang memesannya melalui penghantaran pos.
Mesin itu memaparkan gambar daging beruang tanpa lemak dan berlemak dengan papan tanda bertulis ‘dibuka 24 jam’, ‘beruang hitam’, ‘daging beruang’ dan ‘2,200 yen’ (RM73) untuk 250 gram.
Haiwan itu ditangkap di kawasan pegunungan oleh ahli kelab pemburu tempatan dan diproses di rumah penyembelihan.
Mesin itu dipasang pada November 2022 oleh pembekal kedai Tazawako Ichi dalam usaha menjadikan daging beruang keluaran tempatan sebagai cenderahati dari wilayah Akita.
Secara purata, mesin itu menjual 10 hingga 15 pek daging beruang seminggu tetapi bekalan itu ada masanya kehabisan kerana musim memburu yang terhad.
“Daging beruang rasanya empuk dan tidak keras walaupun sejuk. Ia boleh dinikmati dalam pelbagai bentuk hidangan termasuk rebusan dan stik,” kata wakil kedai Soba Goro. – Agensi