fbpx
NABILA RAZALI

Nabila Razali, si ratu gimik tunggu jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEDIKIT pun tidak terasa hati apabila digelar ‘ratu gimik’, Nabila Razali sebaliknya menganggap jolokan tersebut sekurang-kurangnya membuktikan kewujudannya dalam industri disedari ramai.

Tahun lalu, penyanyi Nabila Razali pernah mencetuskan tanda tanya selepas meninggalkan gambar berbentuk kolaj dalam Instagram miliknya, seolah-olah sedang meraikan hari bahagia (perkahwinan).

Tanpa sebarang hebahan, Nabila turut berkongsi dalam InstaStory beberapa keping foto seperti suasana dalam majlis resepsi pernikahan yang diadakan di tepi pantai.

Penulis yang terlihat perkongsian Nabila dalam Instagram turut sama menjadi tidak tentu arah, mahu segera mendapatkan kepastian sama ada penyanyi itu bakal menamatkan zaman solonya.

Menambah perasaan ingin tahu, Nabila yang mesra disapa Bella turut berkongsi emoji berbentuk cincin dan pengantin perempuan pada ruangan bio Instagramnya.

NABILA tidak mampu mengelak daripada tanggapan orang apabila ada yang memberi jolokan ‘ratu gimik’ kepadanya setiap kali mahu melancarkan produk baharu.
– AFIQ RAZALI

Gimik atau ‘teaser’

Selepas puas digali, akhirnya penyanyi itu membuka mulut dan mengakui apa yang dilakukan itu hanyalah sekadar ‘teaser’ untuk memperkenalkan single baharunya berjudul Aku Terluka yang turut menampilkan penyanyi rap popular, MK K-Clique.

Nabila dengan gimik memang tidak boleh dipisahkan. Ibarat satu keperluan setiap kali hendak melancarkan ‘sesuatu’, pasti penyanyi itu akan buat peminatnya menggelupur.

Bagaimanapun, sebelum dirinya dikritik dan dikecam, penyanyi berusia 31 tahun itu mengingatkan orang ramai supaya tidak keliru antara gimik dengan ‘teaser’ yang diambil daripada muzik video untuk tujuan mempromosikan sesebuah lagu.

“Selagi saya ada dalam industri ini, saya akan cuba untuk berkarya dengan sehabis kreatif.

Saya tidak mahu hanya buat promosi biasa-biasa sahaja.

“Contohnya kalau saya nak mempromosikan lagu, saya akan cakap, ‘hai semua saya ada lagu baharu dan dengarkan ya’.

“Mana ada orang nak layan promosi sebegitu. Penjual kereta pun akan buat pelbagai promosi untuk menarik minat pembeli.

“Jadi saya fikir, cara setiap artis mempromosikan lagu mereka berbeza-beza. Begitu juga dengan Nabila Razali. Tapi malangnya, ada segelintir orang di luar sana menganggap kalau libatkan saya, mesti akan ada gimik,” katanya.

NABILA hanya mahu menjadi kreatif untuk memperkenalkan sesuatu produk baharunya kepada peminat dan tiada niat untuk mempermainkan perasaan mana-mana pihak.

Ratu gimik

Gara-gara menjadi kreatif dan sering mencipta kejutan, maka tidak hairanlah apabila Nabila turut digelar sebagai ‘ratu gimik’oleh netizen.

Ditanya penerimaannya, Nabila langsung tidak terasa, jauh sekali berkecil hati dengan gelaran tersebut.

Malah kata Nabila, gelaran tersebut sedikit sebanyak membuktikan kehadirannya dalam industri masih lagi disedari, selain produk muzik yang dikeluarkan diketahui ramai.

Bagaimanapun, Nabila yang popular menerusi lagu Peluang Kedua itu sebenarnya tidak menganggap kejutan yang dilakukan selama ini merupakan sebuah gimik, sebaliknya adalah ‘teaser’ yang diambil daripada muzik video lagunya.

“Khalayak kena tahu membezakan antara gimik dan ‘teaser’. Saya sudah cuba terangkan berkali-kali sebelum ini. Gimik dan ‘teaser’ ada perbezaannya.

“Saya tegaskan apa yang saya lakukan sebelum ini lebih kepada ‘teaser’ dan bukannya gimik,” kata Nabila yang kini muncul dengan sebuah single baharu berjudul Tulus duet bersama Adi Priyo.

Tolak ke tepi isu gimik dan ‘teaser’. Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd Razali ketika ditemui HibGlam baru-baru ini juga sempat disapa soal ‘raya berteman’, memandangkan masih berstatus solo tanpa kehadiran jejaka bergelar kekasih hati atau calon suami.

Bukan tidak pernah memikirkan soal jodoh, Nabila mengakui perhatian hidupnya kini lebih tertumpu pada kerjaya, sehingga tidak sempat memikirkan soal calon suami.

WANITA berperwatakan manja ini bertegas, apa yang dilakukan selama adalah memberi ‘teaser’ yang diambil dari sedutan karyanya untuk tujuan promosi dan bukan melakukan gimik.

Jodoh? Nantilah

Namun begitu, Nabila yang turut mencipta nama sebagai pelakon itu tidak dapat menyembunyikan kebimbangan memikirkan soal jodoh, namun enggan menjadikan perkara tersebut sebagai bebanan sehingga memberatkan kepalanya.

“Buat masa sekarang saya belum lagi terfikir untuk berumah tangga lagi. Tipulah kalau tidak ada terfikir langsung. Ada, cuma saya lebih fokus pada kerja,” katanya.

Tegas Nabila, dia masih memegang tujuan asalnya menceburi dunia seni kerana mahu mencari rezeki bagi menyara keluarganya.

“Lagi pun, banyak lagi perkara yang belum saya buat. Hendak menjaga satu hati lagi pun memerlukan tanggungjawab juga,” jelasnya.

Pada usianya sekarang, Nabila tidak lagi terlalu memilih soal jodoh, asalkan lelaki yang bakal menjadi ‘imamnya’ itu boleh menerima dirinya seadanya.

“Kalau ada yang mahu mengenali, saya okey sahaja. Tentang ciri-ciri lelaki idaman, kalau dahulu ada banyak. Tapi bila dah semakin meningkat umur, saya dan kurangkan kriteria tersebut.

“Cukuplah hatinya ikhlas dan mengenali cara kerja saya. Insya-Allah kalau ada jodoh, saya tidak akan simpan sendirian,” jelas Nabila tersenyum.

NABILA kini muncul dengan sebuah single duet berjudul Tulus bersama penyanyi Adi Priyo.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN