KUANTAN – Anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Setiu, Terengganu kelmarin tidak menyangka telekung yang dibeli ibunya secara dalam talian menjadi hadiah terakhir buat mereka.
Anak mangsa, Nur Farysya Eryany, 19, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah ibunya, Habsah Ismail, 42, pada pukul 12 tengah hari kelmarin apabila wanita itu memaklumkan mengenai dua pasang telekung yang dibelinya.
“Ibu menghantar kiriman WhatsApp minta saya mengambil wang di dalam laci dan membayar telekung dibeli sebaik penghantaran sampai.
“Sepasang telekung sampai semalam (kelmarin), manakala sepasang lagi sampai hari ini (semalam) atas masalah tertentu,” katanya ketika ditemui di Kosmo! di rumahnya di Taman Balok Permai di sini semalam.
Menurut Nur Farysya, melihatkan dua pasang telekung berwarna putih dan coklat itu membuatkan dia pelik kerana ibunya hanya membeli dua pasang pada tahun ini berbanding tiga pasang pada tahun sebelumnya.
“Telekung putih untuk kakak, manakala saya pula yang berwarna coklat kerana ibu tahu saya sukakan warna gelap,” katanya.
Remaja itu memberitahu, dia dan kakaknya, Hafyna Elyana, 22, mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa bapa, ibu serta adiknya melalui jiran selepas melihat kemalangan di Facebook.
Tambah Nur Farysya, dia dan kakaknya masih belum mempunyai perancangan dan hanya memikirkan tentang keadaan adiknya yang masih kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Bercerita lanjut, remaja itu berkata, dia dan kakaknya yang bekerja di kedai makan baru menerima gaji dan mereka merancang untuk membawa ibu ke bandar untuk membeli baju raya.
Mengenai arwah bapanya, Nur Farysya memberitahu, dia dimaklumkan oleh saudara mara bahawa lelaki itu kelihatan ceria berbanding biasa.
“Ketika ayah pergi ziarah arwah abangnya yang meninggal dunia di Kuala Besut, saudara-mara kata ayah nampak ceria. Malah ayah merupakan satu-satunya ahli keluarga yang dapat mencium arwah abangnya,” katanya.
Tambah Nur Farysya, ibu bapanya merupakan pasangan sejoli yang sentiasa bersama walau ke mana sahaja dan gemar berpakaian sedondon.















