SETIAP kali menyambut bulan Ramadan, Razak (bukan nama sebenar) tidak pernah melepaskan peluang untuk menyambutnya dengan ahli keluarga di kampung halaman.
Lelaki asal Bahau, Negeri Sembilan itu, setiap tahun akan memohon cuti untuk beberapa hari bagi pulang ke kampung dan membantu ibunya membuat persediaan menyambut bulan puasa.
Bekerja di Kuantan, Pahang, Razak yang masih bujang turut pernah berdepan insiden menyeramkan semasa pulang ke kampungnya dari Kuantan.
Kisah seram tersebut berlaku tahun lalu. Razak seperti biasa sudah memohon cuti untuk pulang ke kampung, cuma pada tahun itu dia terpaksa pulang pada malam menjelang 1 Ramadan kerana perlu menyiapkan beberapa kertas kerja sebelum bercuti.
Menurut Razak, kebiasaannya dia akan pulang ke kampung pada waktu pagi kerana dia melalui jalan kampung dari Kuantan melalui Muadzam Shah, Pahang sebelum tiba di kampung yang terletak di Bandar Baru Serting.
“Laluan itu lebih dekat untuk ke rumah ibu saya berbanding melalui jalan lebuh raya, meskipun kawasan di situ sedikit sunyi terutama di kawasan yang melalui hutan dan kebun sawit.
“Saya jarang pulang pada waktu malam atau selepas senja kerana pada waktu tersebut tidak ramai orang menggunakan jalan berkenaan disebabkan gelap dan kurang lampu jalan,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Tambahnya, dia juga kurang gemar balik pada waktu malam kerana dirinya mempunyai kelebihan deria keenam yang membuatkan dia sering dapat melihat makhluk halus.
Cuma pada tahun lalu, Razak terpaksa pulang lewat malam usai menyiapkan semua tugasan yang diberikan majikan sebelum bercuti untuk beberapa hari di bulan Ramadan.
Kongsinya lagi, pada malam itu dia memulakan perjalanan pada pukul 11 malam bertolak dari rumahnya di Indera Mahkota, Kuantan.
Awalnya Razak memberitahu dia sudah berasa tidak sedap hati, namun mengenangkan sudah berjanji untuk pulang bersahur bersama keluarga, dia tidak menghiraukannya.
“Semasa dalam perjalanan, awalnya seperti biasa, ada beberapa kereta turut melalui jalan tersebut di beberapa kawasan.
“Sehinggalah saya tiba satu kawasan kebun sawit dan hutan sebelum sampai ke Muadzam Shah, tiba-tiba ada kabus tebal yang memenuhi jalan tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, dia awalnya menyangka itu sekadar kabus malam kerana tika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
Bagaimanapun, selepas melalui kabus tersebut semuanya menjadi pelik, perjalanan untuk pulang ke kampung terasa panjang.
Razak menyedari perkara tersebut apabila melihat jam sudah melebihi pukul 2 pagi tetapi dia masih belum melepasi pekan Muadzam Shah.
“Memang pada waktu itu saya sudah berasa seram, keadaan jalan pula gelap, saya cuba membaca apa yang patut dan memasang bacaan al-Quran di radio.
“Dalam ketakutan, tiba-tiba ada kelibat seseorang berbaju merah melintasi jalan. Dalam keadaan cemas, saya menekan brek tetapi tidak sempat mengelak dan terlanggar sosok berkenaan,” kongsinya.
Tambahnya lagi, dia yang ketika itu kaku dengan keadaan tersebut kemudian memutuskan untuk keluar kereta dan melihat apa yang telah dilanggar olehnya.
Dalam keadaan takut, dia melihat sekeliling, namun tidak ada sebarang sosok tubuh di sekitar kawasan tersebut.
Razak kemudian cuba tunduk untuk melihat di bawah kereta, alangkah terkejutnya dia melihat ada satu kepala terputus di situ.
Dalam keadaan takut, Razak terus memasuki kereta dan kemudian memecut pergi dari tempat tersebut.
Ketika dalam perjalanan itu, dia tidak putus-putus membaca ayat Kursi sehingga dia menyedari ada kelipan lampu kereta di arah bertentangan.
Selepas berselisih dengan kenderaan tersebut, dia kemudian melihat ada lampu jalan yang mana merupakan kawasan pekan Muadzam Shah.
Lega akhirnya sampai di kawasan pekan, Razak kemudian berhenti di stesen minyak. Hatinya masih berdegup kencang selepas apa yang berlaku.
Dia kemudian ke surau untuk mengambil wuduk dan melakukan solat sunat sebelum menyambung perjalanan ke kampung.
“Alhamdulillah perjalanan selepas itu tidak berlaku sebarang gangguan, dan saya sempat sampai ke rumah bersahur bersama keluarga.
“Keesokan harinya saya menceritakan apa yang berlaku kepada ibu, dia kemudian memberitahu bahawa sebenarnya kawasan yang saya lalui tersebut agak keras dan biasanya di situ sering berlaku kemalangan yang meragut nyawa,” jelasnya.














