BUKAN menyepi tetapi menjadi selektif adalah pilihan dan hak setiap individu.
Bagi anak seni bernama Tiz Zaqyah, pendirian tersebut sudah pun sebati dalam dirinya dalam memastikan setiap titik peluhnya berbaloi dengan penghasilan karya berkualiti.
Bukan kerana gilakan populariti tetapi memilih dalam pemahaman Tiz penting untuk kepuasan peribadi setiap kali berkarya dalam mana-mana naskhah drama mahupun filem.
Tidak berdolak-dalih, pemilik nama penuh Siti Zaqyah Abdul Razak berkenaan mengakui hanya menerima tawaran lakonan yang berkualiti buat masa sekarang.
“Benar saya selektif untuk setiap tawaran yang hadir dan hanya terima projek-projek yang berkualiti.
“Bukan berlagak tetapi ingin memastikan kerja seni saya diletakkan pada tempat yang sepatutnya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tolak tawaran
Sudah bertapak lebih satu dekad dalam industri seni, bintang Nur Kasih itu mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan disebabkan faktor komitmen.
“Saya bukan sengaja menolak tawaran tanpa sebab atau kerana sombong.
“Tindakan tersebut kerana mempunyai komitmen lain seperti pertindihan jadual kerja. Cara saya kerja sekurang-kurangnya setahun perlu ada satu drama,” jelasnya.
Tegas Tiz lagi, perkara tersebut dilakukan kerana enggan jadual kerjanya terlalu padat sehingga terlepas tawaran lain.
“Saya tak mahu terlampau padatkan jadual sebab enggan terlepas tawaran lain.
“Contohnya jika saya terima projek drama yang tempoh penggambarannya terlalu lama, risau terlepas tawaran naskhah hebat lain seperti filem,” ungkapnya.
Beralih kepada cerita kerjaya, Tiz yang kini muncul dengan karakter Lara dalam naskhah terbaharu berjudul Liar mengakui, Lara merupakan watak terberat pernah dilakonkannya.
“Sepanjang 16 tahun bergelar pelakon, ini watak paling mencabar yang pernah sata jayakan.
“Lara memerlukan saya banyak bermain dengan emosi. Apabila berjaya dapat watak ini selepas tiga kali uji bakat, memang tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berkata ya,” ujarnya.

– AFIQ RAZALI
Tayang badan
Ditanya tentang babak yang menuntutnya mendedahkan bahagian badan, pelakon bersuara serak basah itu memberitahu adegan tersebut mempunyai mesej tertentu yang wajar disampaikan kepada penonton.
Jelasnya, setiap babak sensitif seperti dalam bilik mandi atau menampakkan bahagian badan seperti bahu telah diteliti dan dinilai sebelum direalisasikan.
“Bukan sengaja nak tayang badan untuk orang tonton pun sebab paling penting ialah mesej kepada penonton mengenai apa yang dilalui oleh mangsa rogol. Itu yang kami nak sampaikan.
“Kalau ada yang mahu jadikannya isu, biarkan sahaja. Bagi saya, ambil mesej positif, manakala yang buruk jadikan teladan,” tuturnya.
Tambah pelakon berusia 34 tahun itu, pihak produksi juga sudah cukup arif tentang sensitiviti.
“Jika ada adegan yang keterlaluan, saya akan bincang dengan pengarah dan menolaknya.

“Mereka sangat menjaga keselesaan dan bertolak ansur. Bahkan setiap kali lakonkan adegan sebegitu, majoriti kru adalah wanita termasuklah pengarahnya iaitu Lim Siu Min,” ujarnya lagi.
Melakonkan watak mangsa rogol, Tiz memberitahu perkara tersebut turut memberi kesan terhadap mentalnya.
“Seperti saya katakan, karakter Lara sangat berat terutama sebagai mangsa rogol, Tuhan sahaja tahu apa yang saya rasa.
“Setiap kali habis penggambaran, rasa tidak sabar hendak tukar baju yang dipakai Lara, lain macam rasa dia.
“Paling membuatkan saya terkesan ialah ketika babak melakukan pemeriksaan selepas dirogol. Melihat banyak poster tentang rogol dalam bilik tersebut cukup untuk membuatkan saya anxiety, namun terkawal,” kongsinya seraya mengakhiri perbualan.















