PUTERI BALQIS

Ramadan paling getir Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN Ramadan sebenarnya menggamit kenangan syahdu buat pelakon remaja, Puteri Balqis.

Pernah satu ketika beberapa tahun lalu, Balqis dan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz berpuasa dalam keadaan serba kekurangan bahkan terpaksa mengikat perut biarpun sesudah ma­suk waktu berbuka.

Enggan terus dimomokkan masa lampau menyedihkan, pelakon yang semakin meningkat matang itu lebih teruja menyambut bulan penuh barakah ini dengan emosi bahagia.

PENGORBANAN ibu membuatkan pelakon yang bakal mencecah usia 16 tahun pada April ini nekad ingin membahagiakan insan paling disayanginya itu.

 

Memori sedih

Bagi Puteri Balqis atau selesa disapa Aqish, kenangan sarat air mata itu hanya sebuah memori usang yang membuatkannya beringat untuk menempuhi hari hari esok dengan lebih baik.

“Boleh dikatakan Ramadan kami beberapa tahun kebelakangan ini agak sulit, terutama sejak sekitar lima, enam tahun lalu apabila tinggal kami berdua.

“Tiada tempat tinggal tetap selain perlu ikat perut dengan lebih seharian berpuasa kerana tiada benda (makanan) untuk dijamah sewaktu berbuka puasa.

“Cuma apa yang boleh saya ingat adalah kami gembira berdua biarpun hidup kami berada pada fasa sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Allah itu Maha Mendengar. Saya tahu emak saya tak henti berdoa untuk kesejahteraan saya. Biar berlapar, saya ‘kenyang’ kasih sayang seorang emak,” katanya dalam pertemuan dengan HibGlam baru-baru ini.

Menjelang genap usia 16 tahun pada 12 April depan, nyata Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Televisyen Asia 2014 ini matang dalam mengatur bicara.

Tolak tepi pendedahan kontroversi tentang bapanya, Azizi Abd. Aziz sekitar September tahun lalu, si manis yang mesra disapa Aqish itu mahu memadam semua racau dek isu yang dianggap kisah gelap hidupnya itu.

Baginya, cukuplah perbualan berkisarkan perkembangan hidupnya bersama bonda tercinta. Mereka kini meniti warna bahagia dalam mengatur rentak kehidupan.

Berlapar dan mengikat perut ketika Ramadan beberapa tahun lalu menjadi pengalaman yang enggan dikenang semula Puteri Balqis.

 

Indahnya Ramadan

“Tiada yang lebih membahagiakan apabila melihat insan tersayang gembira dan inilah yang saya impikan, sentiasa buat mommy (emak) ceria.

“Kami tinggal berdua, tapi kami sentiasa ada satu sama lain. Itu sudah cukup, malah ada beberapa lagi insan lain yang tidak pernah tinggalkan kami pada ketika saya dan mommy berada pada fasa terendah.

“Moga Ramadan ini kami dapat memperuntukkan masa bersama-sama beribadah dan berbuka puasa kerana tahun lepas saya agak sibuk di set penggambaran.

“Sepanjang Ramadan ini ada juga tawaran berlakon dan projek yang saya ambil sebab semua itu rezeki untuk kelangsungan hidup. Alhamdulillah,” kongsi anak tunggal itu lagi.

Mengulas situasi kesihatan mental yang dihadapi, Aqish akui semakin tenang dan mampu mengawal emosi.

Foto: IQBAL ROSLI Solekan: EL MANDA ZUHAIRY Instagram: @elmandazuhairy                                            Jurugaya: DEAN ISHAK Instagram: @deanishak

Katanya, semua itu berkat sokongan insan sekeliling, selain mengelak daripada membaca komen menghiris hati sehingga mengganggu ketenteramannya.

“Saya tak boleh tutup Instagram atau laman sosial lain kerana itu juga punca pendapatan, tetapi saya elakkan membaca kecaman. Kritikan berbeza dengan menghentam.

“Saya perlu sihat mental dan fizikal demi emak saya. Soal lain saya tolak tepi. Mommylah ‘kebun’ pahala dan ratu buat saya,” tambahnya.

Selain ibu, Aqish turut mendapat suntikan semangat daripada jejaka bernama Brian yang rapat dengannya sejak setahun lalu.

“Sebenarnya kami sudah kenal lama iaitu ketika zaman kecil tetapi terpisah hinggalah kami berjumpa semula tahun lalu secara tidak sengaja.

“Sekarang dia antara insan yang membuatkan saya semakin ampuh dan berani melangkah jitu,” kongsi bintang versatil yang menceburi arena komersial sejak berusia dua tahun itu.

SEMAKIN rancak memenuhi tawaran lakonan, Puteri Balqis kini melebarkan bakat seninya sebagai penyanyi menerusi single pertama berjudul Rinduku terbitan dan edaran Rusa Music.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN