fbpx
Tidur merupakan cara terbaik bagi menguatkan sistem imun tubuh serta mengurangkan risiko jangkitan virus. – GAMBAR HIASAN

Tak cukup tidur punca kemurungan, cepat tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, Khairul Afiq berjalan lemah menuju ke keretanya dan riak wajahnya benar-benar menunjukkan dia tidak bersemangat memulakan pemanduan ke tempat kerja.

Ini kerana, selama tiga malam berturut-turut sebelumnya, dia telah berjaga sepanjang malam menyiapkan persembahan slaid berkait projek yang dikendalikannya untuk dipersembahkan kepada klien syarikat dia bekerja.

Akibatnya, bapa kepada seorang anak itu hanya tidur sekitar empat jam setiap hari sebelum terpaksa bangun dan bergegas untuk ke pejabat.

“Apabila terlibat dalam mengendalikan projek syarikat, maka saya lazimnya akan berjaga malam bagi menyiapkan tugasan.

“Saya tidak kisah tidur hanya beberapa jam sehari dan akan gantikan waktu tidur yang hilang itu pada hujung minggu,” katanya kepada K2.

Situasi tersebut merupakan satu situasi yang cukup biasa didengari, malah ada antara kita yang mungkin jadikan tidur lewat sebagai satu amalan atau tabiat, lebih-lebih lagi apabila dibebani banyak kerja atau tugasan.

Malah, sedarkah anda bahawa sekiranya anda perlu mengejar deadline atau tarikh akhir bagi menyiapkan sesuatu tugasan atau mahu menghabiskan menonton episod drama bersiri diminati, perkara pertama yang akan dikorbankan dalam kehidupan seharian adalah tidur?

Setiap daripada kita diberikan masa sebanyak 24 jam sehari dan apabila jadual seharian menjadi terlalu padat, kita biasanya lebih sanggup berjaga malam dan membiarkan diri tidak cukup tidur, seolah-olah tidak meletakkan waktu rehat yang optimum sebagai kepentingan utama.

Insomnia atau susah untuk tidur menjadikan seseorang itu tidak mendapat tidur yang mencukupi seterusnya mengalami masalah seperti kemurungan.
– GAMBAR HIASAN

Hakikatnya, waktu tidur yang cukup sebenarnya amat penting bagi kesihatan setiap manusia memandangkan badan dan setiap organ dalam tubuh memerlukan rehat yang mencukupi untuk memastikan ia kekal sihat.

Justeru, bersempena sambutan Hari Tidur Sedunia 2023 pada 17 Mac ini, syarikat kesihatan, AmLife International Sdn. Bhd. menganjurkan inisiatif bagi menangani masalah tidur yang dialami rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19.

Hari Tidur Sedunia merupakan acara global anjuran AmLife dan Pertubuhan Tidur Sedunia yang disambut sejak 2016 pada setiap bulan Mac sebagai satu bentuk kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan tidur yang cukup.

Tidur yang tidak mencukupi bukan sahaja disebabkan individu mengorbankan masa tidur untuk melakukan perkara lain tetapi juga berpunca masalah gangguan tidur atau susah tidur seperti insomnia.

Menurut Perpustakaan Maklumat Ubat dan Bioteknologi Kebangsaan, Covid-19 telah menyebabkan kesan sampingan jangka pendek dan panjang dengan 40 peratus daripada individu melaporkan mengalami masalah sukar tidur semasa pandemik dan 31 peratus pula alami masalah gangguan tidur atau tidur tidak berkualiti pasca-Covid.

Ternyata, era pasca-Covid membawa cabaran baharu kepada perubahan kehidupan manusia, terutamanya membabitkan kualiti tidur.

Sementara itu, menurut laporan Jurnal Perubatan dan Sains Kesihatan Asia, 9 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami satu bentuk insomnia dan menghadapi satu atau lebih masalah tidur dengan lebih 53 peratus tenaga kerja

Malaysia mendapat kurang daripada jumlah tidur minimum 7 jam sehari.

Barisan penyelidik dari Malaysia dan Amerika Syarikat berkongsi hasil kajian berkenaan masalah tidur ketika sambutan Hari Tidur Sedunia 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Satu tinjau selidik dalam talian yang dijalankan oleh Pusat Perkhidmatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan beberapa universiti tempatan utama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya pula melaporkan pada 2021, 54 peratus daripada 11,356 responden dewasa yang bekerja tidak mendapat tidur yang secukupnya.

Faktor waktu tidur kurang tujuh jam sehari itu termasuklah menjaga anak, gaya hidup, keadaan tidur kurang baik dan isu kesihatan mental.

Pengasas AmLife, Lew Mun Yee berkata, masalah kurang tidur tidak seharusnya dipandang remeh kerana jika berlanjutan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan serius seperti sakit jantung, kegemukan, diabetes, kemurungan dan juga penyakit berkaitan sistem imun badan.

“Dalam jangka masa yang panjang, kekurangan tidur boleh menyebabkan penyakit degeneratif iaitu kehilangan atau kemerosotan fungsi organ dan tisu badan. Kajian saintifik dapati, tidur merupakan cara terbaik bagi menguatkan sistem imun tubuh serta mengurangkan risiko jangkitan virus.

“Malah, tidur juga berkait rapat dengan masalah penuaan memandangkan tidur yang terganggu akan menjejaskan kesihatan, sistem imun tubuh dan fungsi keseluruhan tubuh yang kemudiannya mempercepat masalah penuaan,” ujarnya.

Pakar Psikologi Kesihatan Klinikal serta Pakar Perubatan Tidur dan Perubatan dari University of California, Amerika Syarikat, Dr. Ariel B. Neikrug berkata, tidur sekurang-kurangnya tujuh jam sehari penting bagi proses baik pulih badan dan juga otak manusia.

“Semua makhluk yang hidup sama ada manusia dan haiwan perlu tidur kerana tidur merupakan waktu tubuh dan juga sel-sel dalam badan kita menjalani proses pemulihan,” ujarnya.

Dr. Neikrug menambah, kebiasaan tidur lewat yang diamalkan golongan pelajar yang mahu mengingati sesuatu pelajaran yang diulang kaji juga sebenarnya kurang berkesan.

“Anda mungkin tidak menyedari betapa pentingnya waktu tidur yang cukup dan akan memilih untuk berjaga malam bagi mengulang kaji.

“Kajian sebaliknya dapati, apabila tidur selepas ulang kaji pelajaran, anda sebenarnya mampu mengingati apa yang dibaca malam sebelumnya itu dengan lebih baik, berbanding jika anda berjaga sepanjang malam untuk ulang kaji pelajaran.

“Ini kerana, waktu tidur yang cukup amat penting dalam pembentukan dan penyatuan memori,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Neikrug turut berkongsi tip mendapatkan tidur yang cukup kepada umat Islam yang bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi memandangkan pada bulan itu, umat Islam lazimnya bangun lebih awal untuk bersahur sebelum bersiap ke tempat kerja.

“Ramadan merupakan bulan yang mana umat Islam akan bangun lebih awal dan mungkin tidur pada waktu yang sama, lalu boleh menyebabkan mereka mendapat tidur yang kurang berbanding bulan-bulan biasa.

“Justeru, saya syorkan supaya memisahkan waktu tidur mereka sepanjang bulan itu kepada lima jam pada sebelah malam dan juga dua jam pada waktu lain mengikut kesesuaian, bagi memastikan mereka mendapat waktu tidur yang cukup supaya kekal bertenaga sepanjang berpuasa.

“Memandangkan ibadah itu disambut selama sebulan, maka tubuh anda akan mempunyai waktu yang cukup untuk membiasakan diri dengan perubahan waktu tidur tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN