fbpx
TERDAPAT dalam kalangan pelajar ketika ini yang ketagihan untuk menghisap vape sehingga sanggup membawa peralatan itu ke sekolah. – GAMBAR HIASAN

Pelajar di 7 negeri mengaku bawa vape ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sistem rekrut pengedar dadah terutama dalam kalangan remaja akan terus berulang tanpa kesudahan sekiranya tiada akta atau undang-undang khusus dalam pengawalan peranti elektronik atau vape.

Penggunaan e-rokok atau vape juga terbukti menjadi punca kepada penggunaan dadah menerusi siri rampasan pihak berkuasa terhadap cecair vape berisi bahan terlarang itu.

Justeru, ramai pihak mendesak supaya disegerakan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang belum dilulus pelaksanaannya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, isu penyalahgunaan vape termasuk campuran dadah telah dibincang lebih empat tahun lalu dengan meminta kerajaan me­nguatkuasakan penjualan dan jenama berkaitannya.

“Kita belum terima aduan me­ngenai campuran (pedon) itu namun hasil maklum balas de­ngan generasi muda termasuk pelajar sekolah di tujuh negeri baru-baru ini mendapati vape banyak dibawa ke sekolah selain mendatangkan ketagihan kepada mereka.

“Kalau sudah campur dengan bahan itu (dadah) lagi membuat mereka ketagih dan kebergantungan. Ini taktik lama dalam memancing (menjadi penagih atau pengedar dadah) bagi memastikan dan mendapatkan a­liran tunai lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Katanya, persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini sepatutnya diambil ke­sempatan oleh pihak berkaitan dalam memperkasakan undang-undang seterusnya luluskan segera supaya dapat mengawalnya sebelum menjadi parah.

Bagi Pakar Klinikal Perubatan Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor mengakui kemunculan vape sebenarnya telah menjadi kerisauan ramai pengamal perubatan terutama dalam ‘menanam’ rasa ketagih generasi muda dengan dimulakan daripada nikotin sebelum kepada bahan-bahan terlarang lain.

Menurutnya, walaupun tidak ketahui secara spesifik bahan yang terdapat dalam pedon tersebut, namun melihat kea­daan klinikal individu yang menggunakan adalah sukar untuk menolak kemungkinan wujud kaitan dengan dadah terlarang.

“Dadah kebiasaannya boleh dikesan menerusi ujian air ken­cing, namun sekarang ini banyak bahan sintetik yang kadangkala sukar untuk dikesan mana satu jenis bahan (dadah) digunakan apabila ujian (air kencing) dibuat.

“Kajian di PPUM pun sebelum ini membuktikan vape boleh menyebabkan penyakit va­ping product use-associated lung injury atau Evali. Itu pun tanpa bahan terlarang dengan memberikan simptom masalah pernafasan seperti sukar bernafas dan batuk yang teruk,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zai­nal Ariffin Omar memaklumkan risiko penyalahgunaan dadah dalam vape memang tinggi de­ngan pihak tidak bertanggungjawab hanya memikirkan keuntungan ekoran permintaan tinggi vape ketika ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN