fbpx
SUKI LOW

Bukan lagu tumpang kontroversi – Suki Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HADIR dengan sebuah lagu tentang kehilangan bahagia seperti memberi gambaran dunia selebriti yang sarat isu kecurangan dan perceraian, single baharu Suki Low Bahagia Yang Sebentar mudah dilihat sengaja didedikasikan kepada nama-nama tertentu.

Barangkali terkejut dengan pertanyaan pihak media berkaitan hal tersebut, Suki terdiam sejenak dan mengambil sedikit masa membalas soalan yang diajukan.

Dalam nada tenang, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu menjawab, lagu tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan bukan ‘menumpang’ kontroversi panas mengenai kemelut rumah tangga beberapa selebriti tanah air.

KEHIDUPAN Suki tidak pernah sunyi dengan ragam anak-anak yang sedang membesar dan juga kesibukan urusan bisnes tempahan gubahan bunga. – SADDAM YUSOFF

Nilai sendiri

Sebaliknya, Suki menegaskan jalan cerita yang dipaparkan berdasarkan pengalaman komposernya, Shila Amzah.

“Tidak terfikir pula ada yang beranggapan sebegitu.

“Apabila tidak terfikir, maknanya itu bukan niat asal kami iaitu menjaja kisah peribadi mahupun kesedihan sendiri,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran single tersebut baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Lee Sook Yee itu menambah, orang ramai bebas untuk menterjemahkan lagu tersebut mengikut situasi sendiri, tidak kisahlah mengenai kecurangan mahupun ditinggalkan insan tersayang.

“Jika ditelaah liriknya, tiada menjurus ke arah kisah yang kini hangat diperkatakan pun sebab jalan ceritanya berkisar perihal kisah hidup Shila.

“Ketika dia menghadiahkan lagu ini sehari selepas Gegar Vaganza musim kelapan berakhir, saya terkejut memandangkan liriknya berkait dengan kehidupan peribadinya.

“Saya berkali-kali bertanya adakah okey jika menyanyikan single tersebut tetapi Shila tetap menyuruh saya menyanyikan lagu itu. Dia sendiri pun sudah pun move on dan enggan mengimbau kembali semua memori pahit yang sudah berlaku,” ujarnya.

Biarpun itu lagu luahan hati Shila, namun bekas juara program One In A Million musim pertama itu memberitahu, hatinya yang terasa sebak kerana lirik lagu tersebut sangat ‘kena’ dengan situasi yang pernah dilalui sebelum ini.

“Sebagai insan yang pernah melalui pengalaman kehilangan orang tersayang, lirik ini sangat berbekas dalam hati.

“Kehilangan bukan sahaja dialami dalam percintaan, tetapi juga kepada ahli keluarga yang lebih pedih rasanya.

“Saya pernah kehilangan ahli keluarga terdekat beberapa tahun lalu. Sedih dan rasa kehilangan itu masih bersisa sehingga ke hari ini,” kongsinya.

 SUKI mengakui terharu dan menitiskan air mata ketika mendapat lagu daripada Shila. Baginya, Bahagia Yang Sebentar sebuah lagu yang penuh emosi.

Kerjaya, keluarga

Dalam pada itu, berbicara tentang perjalanan kerjaya, Suki, 33, sedar karier seninya tidaklah masyhur seperti rakan seangkatan lain yang sudah bertanding atas pentas lebih besar atau ‘terbang’ ke negara lain melebarkan sayap seni.

Akuinya, tidak terdetik walau sebesar zarah rasa cemburu terhadap kejayaan yang diraih rakan-rakan lain.

Dia malah mengakui berbangga dengan kejayaan yang diraih rakan seperjuangan.

“Tidak rasa terkilan apatah lagi dengki dengan kejayaan rakan seperjuangan lain kerana saya percaya perjalanan hidup setiap individu adalah berbeza.

“Setiap manusia ada tujuan hidup masing-masing dan saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Momentum kerjaya seni saya memang agak perlahan 10 tahun lalu tetapi saya percaya semuanya akan berada di tahap maksima suatu hari nanti. Saya bukan manusia yang mudah menyerah dan akan terus berusaha,” ujar pelantun lagu Terlalu Mencintaimu itu.

Percaya dengan perjalanan yang ditetapkan oleh tuhan, melihat tiga anaknya membesar di bawah jagaan sendiri juga merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai rasa bagi Suki.

Katanya, dia mahu memanfaatkan momen indah sebegitu kerana bukan semua ibu memiliki peluang tersebut.

“Karier saya perlahan barangkali kerana komitmen hidup bukan tertumpu terhadap nyanyian semata-mata seperti orang lain.

“Saya ada keluarga yang perlu dijaga, anak-anak semakin membesar, namun ini bukan rungutan. Menjaga dan melihat mereka membesar di depan mata juga satu hal yang tidak semua boleh miliki.

“Saya tak mahu membandingkan kehidupan dan mengukur kejayaan sendiri dengan orang lain,” jelas penyanyi itu yang turut rancak menjalankan perniagaan sebagai penggubah bunga.

TIDAK berduka melihat karier seninya perlahan berbanding rakan seperjuangan, Suki percaya aturan tuhan dan tidak akan mengalah untuk mencapai setiap impiannya dalam bidang nyanyian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN