PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjejaki 90 individu bagi membantu siasatan berhubung isu pemberian wang untuk mengundi sebuah parti politik di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, kesemua 90 individu tersebut sedang dikenal pasti untuk dirakamkan keterangan mereka.
“Siasatan SPRM perlu sedikit masa untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu.
“Individu yang terbabit dalam isu penerimaan wang tunai tersebut diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat,” katanya hari ini.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai kepada orang ramai ketika kempen PRU15 sedang berlangsung.
Ia adalah susulan tersebarnya satu klip video yang menunjukkan beberapa individu menghulurkan wang tunai kepada orang ramai di sebuah daerah di Terengganu sewaktu tempoh berkempen sedang berjalan.
Azam pada 24 Januari lalu dilaporkan berkata, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan untuk memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen pilihan raya kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.
Ujar beliau, walaupun ada parti politik mengatakan bantuan kewangan yang diberikan kepada orang ramai adalah sedekah, namun ia tetap merupakan satu unsur rasuah di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Ya benar ada pihak menyatakan ia sebagai satu sedekah kepada orang ramai, namun tetap satu bentuk kesalahan iaitu memberi rasuah berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Susulan itu, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut setelah menerima aduan semasa dan selepas pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, Pas menerima kecaman hebat selepas penularan klip video tersebut namun Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pengagihan wang oleh individu tertentu kepada pengundi sewaktu PRU15 lalu adalah sebagai sedekah. – KOSMO! ONLINE














