fbpx
AERIL ZAFREL dan Wawa Zainal.

Aeril, Wawa – Siapa dominan, siapa tunduk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIDUP sebagai pasangan suami isteri sejak 10 tahun lalu bukan mudah buat Aeril Zafrel dan isteri, Wawa Zainal. Dalam perkahwinan ada pasang surutnya dan tidak terkecuali, mereka merasai hal sama.

Kendatipun, apa yang menguatkan kepercayaan mereka terhadap ikatan janji bernama pernikahan adalah toleransi yang tidak berbelah bahagi sejak berkahwin pada 2013.

Kini, kehidupan mereka sebagai suami isteri terus mewangi dengan kehadiran empat orang anak. Hujan rezeki karier dan perniagaan juga tidak berhenti mencurah-curah.

“Apa yang penting adalah kerjasama dan toleransi antara suami isteri. Tak semua benda saya boleh kerjakan berseorangan.

“Ada benda contohnya dalam perniagaan, saya perlukan pandangan dan idea seorang wanita bernama isteri,” ujar Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari kepada HibGlam.

LEBIH 10 tahun hidup bersama, Aeril dan Wawa tetap bahagia bersama empat orang anak.

‘Jangan merenyam’

Menyedari kewujudan ‘penyakit’ yang sedang berlaku dalam industri hiburan tanah air sejak akhir-akhir ini, Wawa Zainal mempunyai pendapat tersendiri.

Katanya, mana-mana wanita yang berhasrat untuk berkahwin agar tidak memilih lelaki berstatus suami orang.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin menegaskan, kaum wanita sepatutnya melindungi dan menghormati perasaan serta tidak menghancurkan kebahagiaan perasaan sesama kaum.

“Mana-mana perempuan di luar sana tu, janganlah ‘merenyam’.

“Kalau dah tahu suami orang, janganlah kacau sebab kita sepatutnya memahami isi hati sesama perempuan,” katanya usai majlis Legenda Kembali Asmaradana Wawa X Rozyana di ibu negara, baru-baru ini.

SEBAGAI suami, Aeril percaya lelaki harus sentiasa dominan namun dalam masa sama tetap memberi ruang kepada isterinya, Wawa memberikan sebarang idea ikut kesesuaian.

Tak nak pening

Mengulas lebih lanjut tentang poligami, Wawa, 32, bagaimanapun tidak menolak mentah-mentah perihal terbabit asalkan perkahwinan mendapat restu individu terlibat.

“Kalau perempuan itu setuju atau rela hati dimadukan, okey sahaja. Tapi, kalau dia tak rela dimadukan, tak bolehlah agaknya. Madukan sebab dia bosan di rumah ke,” ujarnya.

Diajukan soalan sama kepada si suami, Aeril Zafrel tidak mahu memeningkan kepala beristeri lebih daripada satu walaupun perkara tersebut tidak dilarang dalam agama.

“Saya sebenarnya tak nak pening. Sebenarnya, kalau kita ada orang lain, bertambah pening. Ada satu pun dah pening.

“Saya jenis lelaki yang bukan tak ambil kisah tapi banyak lagi benda yang nak difikirkan. Dengan anak-anak lagi. Ada kucing lagi. Kalau tambah bini, ‘confirm’ sakit kepala.

Rambut dah baik-baik lebat sekarang, nanti botak pula,” ungkapnya.

WAWA Zainal berharap golongan wanita bujang yang masih bujang cuba mengelak daripada menjadi orang ketiga dan terlihat dalam hubungan dengan suami orang.

Aeril lelaki dominan

Mengulas isu golongan suami perlu bersifat dominan dalam mana-mana perhubungan terutama perkahwinan, tegas Aeril, kaum wanita perlu diberi ruang dan peluang untuk melontarkan pendapat dalam sebarang perbincangan soal rumah tangga.

“Dominan perlu bertempatlah. Kadang-kadang untuk pemilihan contohnya macam produk, saya rasa isteri (Wawa) lebih pandai dalam bab tersebut.

“Dalam bab kreativiti kadang-kadang, saya lagi bagus. Kalau saya cakap sekian sekian, Wawa memang takkan lawan.

“Jadi, masing-masing ada alpha (sisi dominan) tersendiri. Saya selalu marah Wawa contoh benda belum tanya, tapi dia dah buat. Apa pun, bergantung kepada keadaan.

Hubungan suami isteri kena ada ‘give and take’,” ulasnya.

Lelaki berusia 35 tahun itu berpendapat, kebanyakan masa, kaum lelaki sememangnya perlu dominan atau alpha. Perkara tersebut tidak boleh disangkal dan wanita perlu tunduk terhadap fitrah.

“Siapa dominan siapa, bergantung kepada apa yang kita kerjakan atau bincangkan. Tapi, sebagai suami, mestilah kita (suami) selalu dominan.

“Waima ketika meeting di pejabat, Wawa duduk di kerusi besar (bos), saya duduk di sebelah sahaja. Duduk dengan staf di bahagian tepi. Saya bagi dia nak rasa dominan di situ.

“Sebenarnya, benda itu (jadi dominan) tak perlu bangga pun. Janganlah kita rasa kita kawal isteri. Saya rasa benda sebegitu tak perlu dibanggakan pun.

“Saya rasa apa yang perlu kita banggakan adalah kejayaan bersama sebagai suami isteri.

“Maknanya, saling bertoleransi dan yang paling penting adalah, bagaimana nak pertahankan sesebuah hubungan itu,” ujarnya memberi noktah perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN