DALAM kehidupan tiada apa yang berkekalan selama-lamanya termasuk ikatan perkahwinan, walaupun ia dibina atas dasar cinta.
Itulah nasib yang dialami oleh Anis (bukan nama sebenar) yang akhirnya memilih untuk berpisah dengan suami tercinta.
“Berpisah adalah pilihan terbaik dan saya tidak perlu mempertahankan lagi perkahwinan ini. Saya tidak mahu berkongsi lelaki yang dicintai dengan orang lain.
“Saya reda apabila suami memilih untuk berpoligami. Namun, setelah berbuat demikian dia tidak boleh berlaku adil kepada saya,” katanya yang kini berusia hujung 30-an.
Tambah Anis, suaminya juga semakin culas untuk menunaikan nafkah dengan alasan perlu mengutamakan isteri muda.
Mengimbau kembali ikatan cinta antara Anis dan suaminya, dia menjelaskan, mereka berdua berkenalan ketika sama-sama melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Beberapa tahun setelah tamat pengajian dan mendapat pekerjaan, mereka memilih untuk berkahwin.
Pada mulanya, mereka berdua tinggal di ibu kota sebelum memilih pulang dan tinggal di kampung suaminya di Kedah.
“Suami saya dapat tukar tempat kerja ke kampung halamannya di Kedah. Jadi, saya mengikut suami kerana memang niat untuk menetap di sana.
“Saya juga memohon pertukaran tempat kerja untuk bersama-sama pulang dan tinggal di kampung halamannya,” jelasnya.
Pada awal kepulangan mereka ke kampung, semuanya baik-baik sahaja sehinggalah suaminya kembali berhubung dengan rakan sekolah yang juga merupakan seorang janda.
Dalam diam, mereka berdua menjalinkan hubungan tanpa pengetahuan Anis.
“Saya menyedari perubahan pada suami apabila mendapati dia gagal menunaikan nafkah zahir dan batin dengan secukupnya.
“Malah, dia sering keluar malam dan pulang awal pagi dengan alasan melepak bersama kawan-kawannya,” jelasnya.

– Gambar hiasan
Tambahnya, suaminya juga sering menunggang motosikal ke Thailand bersama rakan-rakan dan jarang menghabiskan masa di rumah.
Kadangkala Anis berasa sunyi apabila ditinggalkan memandang sepanjang perkahwinan mereka belum dikurniakan rezeki menimbang cahaya mata.
Bagaimanapun, ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’. Itulah perumpamaan yang Anis gambarkan kepada suaminya.
Akhirnya, Anis mengetahui bahawa suaminya itu ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain setelah mendapat maklumat daripada salah seorang rakan sekerjanya.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya ada bertanyakan hal tersebut kepada suami. Pada mulanya suami saya menafikannya dia mempunyai wanita lain di belakang saya.
“Setelah didesak untuk berlaku jujur akhirnya dia mengaku telah berkahwin satu lagi.
“Dia telah berkahwin dengan rakan lamanya di Thailand menggunakan ejen di sana tanpa pengetahuan saya,” jelasnya.
Luluh hati Anis pada ketika itu kerana tidak menyangka akan dikhianati oleh insan yang dia percaya dan sayangi sepenuhnya.
Masa berlalu dan Anis menerima takdir bahawa dia telah mendapat ‘madu’ selepas suaminya itu memilih untuk berpoligami.
Setelah hampir tiga tahun dia memberi peluang kepada suaminya itu, Anis akhirnya mengambil keputusan untuk membuat permohonan berpisah di mahkamah syariah.
“Saya dapat rasakan suami saya tidak boleh berlaku adil dan dia lebih menyayangi isteri muda. Ini memandangkan mereka telah dikurniakan zuriat.
“Saya mengambil keputusan untuk berpisah dengannya, walaupun pada mulanya suami menghalang saya untuk berbuat demikian,” bicaranya.
Akhirnya, mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Kedah.
Kini, Anis pulang ke kampung halamannya yang terletak di selatan tanah air untuk membina kehidupan baharu.













