Trend tebuk atau tindik pipi untuk menampakkan lesung pipit dalam kalangan wanita muda semakin menjadi-jadi.

Trend tebuk pipi buat lesung pipit kerana mahu cantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keghairahan golongan wanita untuk kelihatan cantik dan menawan menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa berdepan dengan kesakitan selain memudaratkan diri sendiri.

Terbaharu, trend tebuk atau tindik pipi untuk menampakkan lesung pipit dalam kalangan wanita muda semakin menjadi-jadi dan dipromosikan secara terbuka di media sosial khususnya TikTok.

Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, kegiatan tersebut didalangi oleh individu tidak bertauliah yang menggelar diri mereka sebagai ‘pakar kecantikan’ selain memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah atau di premis haram.

Perkhidmatan yang dilakukan oleh pihak berkenaan juga tidak ditawarkan di mana-mana klinik biasa kerana memerlukan prosedur pembedahan yang sepatutnya selain tawaran harga murah sekitar RM200 hingga RM400 bagi kedua-dua lesung pipit.

Salah seorang individu yang menawarkan perkhidmatan ini mendakwa, mereka memang tidak mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi selain tidak mendapat sijil tauliah daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Buat lesung pipit ini memang tiada kelulusan KKM pun. Sama seperti ‘filler’ dan cucuk vitamin C untuk putih. KKM hanya lulus benda lain sahaja.

“Saya pun bukan belajar dalam YouTube tetapi daripada cikgu bertauliah. Cuba tanya soalan ini dekat orang lain yang buat servis ini juga, tengok apa jawapan mereka.

“Benda ini di luar negara boleh sahaja cuma Malaysia yang leceh,” kata wanita yang berpengkalan di Seberang Jaya, Pulau Pinang itu.

TREND membuat lesung pipit kini semakin popular dalam kalangan wanita muda. – GAMBAR HIASAN

Lebih membimbangkan, semua video yang dimuat naik oleh individu ini di TikTok mendapat tontonan tinggi, malah berjaya menarik minat wanita muda untuk mendapatkan perkhidmatan.

Seorang lagi wanita yang menjalankan kegiatan sama di sebuah premis di Puchong, Selangor pula mengakui, mereka kini menyasarkan wanita muda de­ngan pelbagai tawaran kecantikan.

Katanya, antara ditawarkan seperti pembedahan hidung dan dagu ‘filler’, sulam kening, bibir dan bedak, memasukkan vitamin C (drip whitening) dan belah dagu.

“Saya ini hanya pakar kecantikan, mana ada sijil. Kalau awak pergi klinik kecantikan pun, doktor mana ada buat lesung pipit.

“Kalau awak ingin buat gigi, logiklah awak minta sijil, kalau untuk lesung pipit, pergi dekat doktor kecantikan pun mereka tidak buat,” katanya.

Jelasnya lagi, sebelum tarik benang untuk mewujudkan lesung pipit di bahagian pipi, pelanggan akan disuntik bius dahulu untuk memastikan mereka tidak merasa sakit dan perlu berpantang makanan laut selepas itu untuk elak kegatalan.

Dalam pada itu, seorang wa­nita dikenali sebagai Lina, 28, berkongsi pengalaman pahitnya selepas mendapatkan servis tarik benang untuk membuat lesung pipit di sebuah premis kecantikan pada tahun 2019.

Katanya, dia menemui perkhid­matan berkenaan di Instagram dan terus menghubungi premis berkenaan untuk mendapatkan janji temu.

PELANGGAN dikenakan bayaran RM400 untuk perkhidmatan membuat lesung pipit.

“Saya sedar servis tersebut salah di sisi undang-undang ke­rana tidak ada sijil KKM pun.

“Harga yang dikenakan untuk kedua lesung pipit adalah RM400 dan masa yang diambil hanya 15 minit. Sebelum buat, dia akan bius dahulu, tetapi tetap rasa sakit.

“Lepas bius dah habis, lagilah bertambah sakit sampai saya tidak boleh makan untuk tempoh tiga ke empat hari,” ujarnya.

Menurut Lina, dia turut di­ingatkan agar tidak terlalu kerap ketawa bagi mengelak benang yang dipasang pada pipi tercabut.

“Pesan mereka, jangan ketawa kuat sangat. Ada satu hari itu, saya ketawa dan benang disimpulkan di dalam pipi tercabut dan berdarah. Bila saya tanya boleh buka semula, wanita itu kata tidak boleh.

“Lebih teruk lagi apabila servis tebuk serta tindik lesung pipit yang dibuat oleh beberapa kawan-kawannya tidak dapat dibuka dan kekal buat selama-lamanya,” dakwanya.

Susulan kejadian itu, Lina mengingatkan golongan wanita supaya tidak terpedaya untuk mengambil servis berkenaan hanya semata-mata mahu kelihatan cantik.

“Saya menyesal buat dahulu sebab benda itu dianggap me­ngubah ciptaan Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN