MEMEGANG portfolio sebagai seorang selebriti ternyata memberi jutaan peluang buat mana-mana individu. Semakin popular, semakin terbuka ruang ekplorasinya.
Begitu jua yang diraih Ayda Jebat apabila ditawarkan peluang keemasan sebagai duta kempen Salam Taiwan bawah kelolaan Biro Pelancongan Taiwan.
Bagi pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat itu, keberadaan di negara yang dikenali sebagai Heart of Asia itu memberinya peluang untuk meneroka pelbagai lokasi indah yang tidak pernah dihebohkan kepada umum.
Sepertinya terlahir satu rasa kagum apabila meraih kesempatan untuk melalui pengalaman emas sebegitu, terutama ketika melawat lokasi yang indahnya tidak mampu digambarkan melalui kata-kata.

Tangisan
Menurut Ayda, air matanya beberapa kali tumpah ketika melawat lokasi di Taiwan seperti ladang biri-biri di QinJing Farm.
“Rasa-rasanya hampir tiga kali saya menangis sebab terlalu gembira dan teruja sehingga tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya kerap juga melancong tetapi Taiwan berjaya membuatkan saya jatuh hati. Keindahan alam semula jadi di Taiwan adalah ‘sesuatu’ dan berbeza,” katanya kepada HibGlam.
Di mata dan jiwanya, keindahan yang tersaksi di beberapa lokasi dijejaki selama di Taiwan, semuanya persis sebuah lukisan.
“Jika ada kesempatan, pergilah ke Taiwan sebab banyak lokasi yang belum diteroka dan dikormesialkan kepada pelancong,” jelasnya.

Sementara itu, berkunjung di sebuah negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam pasti akan timbul kerisauan mengenai soal halal haram untuk pelbagai aspek terutama berkaitan makanan.
Akui anak kelahiran Melaka itu, dia juga tidak terlepas daripada dihujani pertanyaan tentang hal sebegitu daripada pengikut media sosialnya.
“Setiap kali saya kongsi foto makanan, pasti akan muncul soalan-soalan pelik. Contohnya sama ada saya makan hidangan berasaskan haiwan eksotik seperti katak.
“Tanggapan sebegitu yang perlu saya leraikan dalam pemikiran masyarakat terutama yang mempunyai pandangan skeptikal terhadap negara seperti Taiwan.
“Hakikatnya, makanan halal dan setiap kemudahan di sana sangat mesra Muslim. Sepanjang 12 hari di sini, memang dipermudahkan,” ujar wanita berusia 30 tahun itu.

Prioriti
Berkongsi lanjut perjalanan karier sebagai anak seni, isteri kepada pengacara, Nabil Mahir mengakui agak selektif untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan.
“Jika ikutkan perancangan, memang saya cuba nak kembali dengan drama terbaharu.
“Suami yang desak saya untuk kembali aktif berlakon sebab katanya, peminat memang sudah lama ternanti-nanti naskhah terbaharu daripada saya.
“Dia sentiasa galakkan tetapi memang berat hati sikit sebab prioriti memang untuk keluarga terutama anak yang semakin membesar,” ujarnya.

Lumrah wanita yang sudah berkahwin, prioriti kehidupan kini lebih terarah kepada keluarga apatah lagi anak perempuannya, Ana Nayla sangat memerlukan perhatian penuh daripadanya.
“Saya memang sentiasa mendapat tawaran daripada penerbit drama dan ketika ini sedang pertimbangkan beberapa drama.
“Fasa sekarang memang saya lebih selektif dalam menerima tawaran drama dan akan pertimbangkan jenis watak dan jalan cerita yang berkualiti serta memberi impak kepada penonton serta kerjaya.
“Insya-Allah saya akan mengubati kerinduan peminat yang sentiasa menanti kemunculan di kaca televisyen,” tutupnya.















