fbpx

Mahkamah Pakistan diselar bebaskan perogol demi kahwini mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah Mahkamah Tinggi Peshawar pada Isnin lalu membebaskan seorang perogol yang mencetuskan kemarahan aktivis-aktivis hak asasi manusia di Pakistan. - AFP

ISLAMABAD – Suruhanjaya Hak-Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) menganggap keputusan mahkamah untuk membebaskan seorang perogol yang telah disabitkan bersalah supaya dia boleh mengahwini mangsanya sebagai ‘pelanggaran undang-undang yang teruk’, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Mahkamah Pakistan membebaskan perogol berkenaan, Daulat Khan yang disabitkan bersalah selepas dia bersetuju untuk berkahwin dengan mangsanya, sekali gus menimbulkan kemarahan aktivis-aktivis hak asasi manusia.

Mereka menyatakan bahawa keputusan itu berisiko menormalkan keganasan seksual di negara Asia Selatan tersebut selain menganggap terhapusnya keadilan berikutan pembebasan Daulat.

Lelaki berusia 25 tahun itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan didenda 100,000 rupee (RM1,944) selepas disabitkan kesalahan merogol seorang wanita pekak berusia 36 tahun pada Mei 2020 di daerah timur laut Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa. 

Mangsa kemudian melahirkan seorang anak akibat serangan seksual itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Peshawar membebaskan Daulat pada Isnin lalu selepas kedua-duanya berkahwin secara sah pada awal bulan ini berikutan penyelesaian di luar mahkamah yang dibuat oleh jirga tempatan.

Jirga ialah sebuah majlis dianggotai lelaki-lelaki warga emas yang membuat keputusan berdasarkan kepada undang-undang Syariah dan keluarga mangsa rogol itu.

“HRCP menggesa negara tersebut (Pakistan) merayu keputusan itu dan mengekalkan komitmennya terhadap hak-hak wanita. 

“Rogol adalah satu kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan tidak boleh diselesaikan menerusi perkahwinan kompromi yang lemah,” kata HRCP. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI