LONDON – Britain mengecam satu kempen berniat jahat di Rusia yang mendakwa vaksin yang dihasilkan oleh kumpulan saintis di Universiti Oxford akan menyebabkan seseorang manusia bertukar jadi ‘monyet’, lapor portal berita Mirror UK.
Beberapa gambar yang dikongsi mendakwa mana-mana vaksin yang dihasilkan di United Kingdom (UK) adalah berbahaya selain menggunakan virus monyet jenis cimpanzi sebagai vektor turut dibidas.
Sejumlah rancangan yang disiarkan menerusi program televisyen di Rusia, Vesti News termasuk gambar Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sebagai makhluk bigfoot memegang fail berjudul AstraZeneca, syarikat yang mengeluarkan vaksin itu.
Imej lain pula menunjukkan poster Uncle Sam yang terkenal di Amerika Syarikat dengan kapsyen ‘Saya mahu kamu ambil vaksin monyet’.
Satu lagi poster memaparkan gambar beruk gergasi King Kong memegang vaksin dengan keterangan: “Jangan bimbang! Vaksin monyet selamat!”
Gambar dan meme itu didedahkan akhbar The Times dan dipercayai disasarkan ke atas Brazil dan India, iaitu lokasi pilihan Rusia untuk menjual vaksin buatan sendiri, Sputnik V.
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab semasa temu bual bersama BBC Radio 4 berkata, pihaknya memandang serius kempen itu.
Beliau mendakwa maklumat yang digunakan pada iklan-iklan kempen itu adalah tidak benar dan mengelirukan.
“Ini adalah percubaan yang mengganggu proses penghasilan vaksin yang selamat untuk masyarakat dunia.
“UK dikenali sebagai pusat penyelidikan terbaik dengan teknologi berkualiti. Kami adalah penanda aras global,” katanya.
Raab berkata, Rusia terkenal dengan mainan taktik kotor seperti itu sebagai satu dasar kawalan ke atas negara asing.
Ketua Pegawai Eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot memberi amaran bahawa kempen seperti itu boleh memulakan gerakan antivaksin di dunia.
“Saintis kami dan banyak lagi syarikat di dunia sedang berusaha keras untuk menghasilkan vaksin bagi merawat virus Covid-19.
“Saya menggesa semua orang mendapatkan maklumat tentang vaksin dari sumber yang betul dan tidak mudah terpedaya dengan kempen-kempen yang tidak berasas,” katanya.
Sementara itu, wakil kedutaan Rusia menafikan pentadbiran mereka ada kaitan dengan kempen itu kepada The Times dan menegaskan bahawa kedua-dua negara itu memiliki hubungan diplomatik yang baik. – Agensi