fbpx
NAIM tidak menyangka isterinya menjalin cinta dengan lelaki lain sewaktu mereka tinggal berjauhan. – Gambar hiasan

Gigitan cinta bukti kecurangan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK seperti pasangan lain yang dapat tinggal bersama selepas berkahwin, Naim (bukan nama sebenar) terpaksa menjalani perhubungan jarak jauh dengan isteri tercinta.

Dia harus tinggal di Sabah, manakala isterinya di Lembah Klang kerana tuntutan kerjaya masing-masing.

“Hampir tiga tahun kami terpaksa berjauhan dan saya sering pulang ke Lembah Klang bagi melepaskan rindu kepada isteri tercinta.

“Ada ketikanya isteri akan terbang ke Sabah untuk bertemu dengan saya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagi Naim, dia amat beruntung sekali kerana mempunyai seorang isteri yang cukup cantik dipandang.

Malah, mereka berdua hanya mengenali antara satu sama lain dalam tempoh masa lima bulan, sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan.

“Saya dan isteri diperkenalkan oleh salah seorang rakan kami.

“Pada ketika itu, saya dan isteri sama-sama mengalami kegagalan dalam percintaan,” jelasnya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Dalam pada itu, Naim tidak menyangka bahawa mahligai yang dibina atas dasar cinta itu akhirnya terlerai kerana kecurangan isterinya.

Semuanya berlaku setelah dia secara mengejut pulang bertemu dengan isterinya di Lembah Klang.

Setibanya Naim di rumah, dia mendapati bahagian leher isterinya seakan dipenuhi kesan gigitan cinta atau love bite.

“Saya cuba bertanya mengenai hal itu kepadanya, namun dia memberitahu hanya mengalami gatal-gatal dan menggaru untuk menghilangkan rasa itu. Disebabkan itu ada kesan seakan kesan gigitan cinta pada bahagian lehernya.

“Ketika itu terdetik di hati saya satu perasaan yang tidak baik. Saya dapat merasakan bahawa dia (isteri) berbohong kerana cuba menyembunyikan sesuatu yang tidak elok,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, ketika Naim minta untuk ‘bersama’ pada sebelah malam, isterinya seakan menolak dengan memberi pelbagai alasan.

Selepas didesak, isterinya kemudian terpaksa akur dan meminta mereka bersama dalam keadaan gelap.

“Saya hanya menuruti permintaan isteri itu. Setelah bersama, saya membuka lampu dan mendapati ada kesan-kesan gigitan cinta di bahagian lain pada tubuhnya.

RAKAN Naim berjaya merakam gambar isterinya membawa lelaki lain masuk ke dalam rumah mereka.
– Gambar hiasan

“Kesan itu dapat dilihat dengan jelas kerana isteri saya memiliki kulit yang putih,” terangnya.

Tambahnya, sewaktu mereka bersama, dia tidak melakukan gigitan tersebut pada isterinya.

Kemudian, dia cuba meminta penjelasan, namun isterinya memberi pelbagai alasan, selain meminta Naim supaya percaya kepada dirinya.

Sejak kejadian itu, Naim mula mengesyaki bahawa isterinya telah berlaku curang di belakangnya.

Bagaimanapun, dia mengalami kesukaran untuk menyiasat dan mencari bukti kerana tinggal berjauhan dengan isterinya.

Sebelum pulang ke Sabah, dia sempat bertemu dengan salah seorang rakannya bagi mendapatkan pertolongan dan nasihat.

“Saya meminta bantuan rakan yang juga seorang jurugambar bebas untuk memantau pergerakan isteri saya dalam diam.

“Memang benar setelah saya pulang ke Sabah, isteri berlaku curang di belakang saya. Ia dapat dibuktikan menerusi gambar-gambar yang diambil oleh rakan,” katanya sambil menahan sebak.

Rakan Naim berjaya merakam gambar isterinya keluar dengan beberapa lelaki berbeza dan kelihatan cukup mesra. Malah, ada lelaki yang bersama dengan isterinya itu kelihatan sangat muda.

Bukan itu sahaja, rakannya juga dapat mengambil gambar isterinya itu membawa masuk lelaki lain ke dalam rumah mereka.

“Dengan bukti yang diperoleh, saya telah menunjukkannya kepada isteri.Dia hanya mampu mendiamkan diri, sebelum menyalahkan saya kerana tidak tinggal sebumbung.

“Dia (isteri) mahu sentiasa dibelai oleh lelaki. Disebabkan itu, dia sanggup melakukan perkara terkutuk,” jelasnya.

Naim berkata, dia tanpa berfikir panjang telah melafazkan cerai kepada isterinya itu. Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

“Saya tidak mahu lagi bersamanya. Jika mengingati hal itu, saya pasti sakit hati dan marah,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN