KUALA LUMPUR – Bukan sahaja hidup sebatang kara dan merempat di kaki lima di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malah seorang gelandangan warga emas yang tular kisah sedihnya di media sosial turut menderita kanser perut.
Lebih menyedihkan, Nasen Ahmad, 74, yang ditemui Kosmo! di sekitar KLCC memberitahu, dia terpaksa berulang-alik berjalan kaki dari KLCC ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejauh hampir 5 kilometer bagi mendapatkan rawatan kanser.
“Saya kena kanser sejak beberapa tahun lalu ketika usia senja. Pada mulanya rasa sakit dan bengkak dekat perut, saya kemudian berjalan kaki ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Setelah pemeriksaan, doktor mengesahkan saya menghidap kanser perut. Sejak itu, saya berulang-alik ke hospital berjalan kaki,” katanya baru-baru ini.
Nasen menceritakan, setiap malam air matanya berlinang dan mengalir sebelum tidur kerana mengenangkan di mana salah dan silapnya dahulu sehingga hidupnya menjadi seteruk ini.
Katanya, kehidupan yang dilaluinya ketika ini dalam menghabiskan sisa-sisa hidup tidak sama seperti golongan seusianya yang hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak.
Berita berkaitan: [VIDEO] Ramai simpati warga emas tidur di tangga KLCC
Menurutnya, dia hidup sebagai gelandangan kota selepas kematian isteri sejak 12 tahun lalu dan kemudian enam orang anaknya turut meninggal dunia, namun Nasen tidak mendedahkan punca pemergian kesemua orang tersayangnya itu.
“Sebelum ini saya tinggal di Petaling Jaya, sudah dua tahun keluar rumah (tanpa mendedahkan punca). Saya jadi gelandangan di KLCC sejak beberapa bulan lalu dan sebelum itu merempat di sekitar Bukit Bintang,” ujarnya.
Katanya, dia yang tinggal di sekitar KLCC hanya mampu menumpang simpati orang ramai yang melihat dirinya seorang diri terumbang-ambing di usia tua.
Berita berkaitan: Warga emas duduk di tangga KLCC diziarah Ebit Lew
“Setiap malam juga tidak lekang di ingatan mengenangkan memori indah bersama keluarga tercinta terutama isteri dan anak-anak.
“Tidur hanya beralaskan lantai dan beg yang diisi dengan dua helai baju serta segulung surat khabar yang dijadikan bantal.
“Sudah beberapa bulan saya hidup di jalanan beralaskan beg dan lantai, kadangkala kalau tak cukup tidur, sambil duduk pun mata boleh terlelap,” katanya.
Sungguhpun begitu, sifat peramah dan mesra bagi Nasen adalah penting untuk menjaga hubungannya dengan rakan-rakan gelandangan yang lain.
“Selalu yang beri kita makanan dan tolong kita adalah rakan-rakan gelandangan dan orang awam yang lalu lalang, tak pernah paksa mereka bantu, bagi saya cukup untuk membolehkan saya teruskan hidup sahaja.
“Harapan saya agar dapat tinggal semula di dalam rumah atau bilik kerana hidup di jalanan memang tidak selesa,” ujarnya.
Kisah sedih hidup Nasen tersebar menerusi akaun TikTok @aisyahramly96 yang memaparkan lelaki warga emas itu yang kelihatan sangat daif sedang duduk di atas tangga KLCC.
Nasen yang terpaksa tidur di tangga sekitar KLCC kerana tidak mempunyai tempat tinggal dan hidup sebatang kara undang sebak orang ramai.
Menurut pemilik akaun TikTok itu, Aisyah, warga emas tersebut sudah beberapa bulan tidur di tangga sekitar KLCC kerana tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap.
Susulan itu, pendakwah bebas, Ebit Lew tidak melepaskan peluang membantunya dengan memberikan pakaian baharu dan bilik di sebuah surau.














