AKTOR tinggi lampai bernama lengkap Farid Kamil Zahari itu tidak mahu memeningkan kepala memikirkan skeptikal khalayak apabila memutuskan kesediaan menterjemah karakter Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem biopik berjudul Jalan Masih Panjang.
Sewaktu kata putus terbabit dalam naskhah kerjasama Malaysia dan Indonesia tersebut dibuat, Anwar belum menjawat peranan sebagai Perdana Menteri Malahysia ke-10.
Dari kaca mata ramai, figura itu terlalu berhaluan kiri dan masih samar untuk diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara.
Kini segala-galanya sudah berubah dan Farid sebagai seorang aktor, tiada secebis keraguan mahu pun penyesalan waima saat mula-mula menerima tawaran melakonkan karya arahan sutradara, Viva Westi tersebut.
“Apabila saya diberi tanggungjawab berlakon filem tersebut, itu satu rezeki yang datang tanpa diduga.
“Saya berada di Jakarta, Indonesia selama hampir dua bulan, saya dapat merasakan satu perbezaan yang sangat ketara apabila berada dalam filem berstatus antarabangsa.
“Kerjasama antarabangsa tersebut secara tidak langsung membuatkan kualiti atau tahap persembahan kita menjadi berbeda.
“Kita pun semua sedia maklum, kalau Indonesia buat filem-filem bergenre patriotik ataupun biopik, mereka pasti akan hasilkan yang terbaik,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Anti-rasuah, minta izin ibu
Ditebak sama ada dirinya berdepan tekanan melakonkan karakter seorang pemimpin yang sangat ‘ditakuti’, Farid sememangnya tidak menafikan perihal terbabit.
“Sewaktu dapat tawaran dan skrip filem tersebut, saya tak terus buat keputusan, tetapi saya bagi kepada ibu untuk menelaah skrip. Sejam kemudian, ibu telefon dan memberi lampu hijau untuk saya berlakon.
“Ibu kata, tunjukkanlah kepada dunia bahawa Malaysia ini masih ada lagi pemimpin seperti Anwar yang anti-rasuah dan beliau seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang pernah dianiaya suatu ketika dahulu.
“Selepas dapat lampu hijau daripada ibu, berkali-kali saya baca skrip diberikan dan menelaah setiap perincian,” ujarnya.
Tidak dengan rujukan sendiri, pelakon berusia 41 tahun itu sempat bertemu empat mata dengan Anwar sebanyak dua kali agar watak besar mandat daripada Bianglala Entertainment tersebut dapat dijayakan sesempurna mungkin.
“Ketika produksi panggil saya ke Jakarta, saya beritahu yang saya tak boleh nak berlakon watak tersebut kerana masih mempunyai kekurangan untuk menterjemah watak tokoh yang juga ahli politik terkenal antarabangsa itu.
“Anwar merupakan tokoh yang masih lagi ada dan masih aktif. Jadi, sudah tentu saya perlu berjumpa dengannya. Permintaan saya ditunaikan dan kami berjumpa selama dua jam. Makan malam bersama tapi itu belum cukup.
“Sebelum terbang ke Jakarta, saya minta sekurang-kurangnya boleh berjumpa dengannya sekali lagi. Jadi, kami berjumpa dan dalam masa sama saya dapat dalami lagi apa yang berlaku kepadanya,” terang bapa kepada dua cahaya mata itu.

Tengok ‘lebam’ mata Anwar
Suami kepada aktres Diana Danielle itu turut memberanikan diri meminta keizinan Anwar untuk melihat kesan ‘fizikal’ yang masih berbekas di bahagian matanya pemimpin itu.
“Saya minta keizinannya nak tengok kesan-kesan berlaku kepadanya kerana mengikut laporan perubatan, beliau ditumbuk dan dikasari dengan tujuh pukulan.
“Jadi, beliau buka cermin mata dan nampak kesan-kesan tumbukan tersebut. Dia angkat kening dan ternyata, kesan tersebut masih ada.
“Itu yang membuak-buak semangat saya untuk menzahirkan watak Anwar Ibrahim, rasa terkenang-kenang apa yang berlaku kepada dirinya sekitar 1998 lampau,” jelas Farid.
Meneruskan bicara, pengarah dan pelakon filem Remp-It 2 itu mengakui mula mengambil tahu tentang perjuangan reformasi Anwar sejak 1998, terutama apabila figura hebat itu dianiaya bangsa sendiri.
“Saya mula tahu tentang Anwar Ibrahim ketika tahun 1998. Ketika itu, timbul satu persoalan dalam benak pemikiran, kenapa tiba-tiba mata beliau lebam?
“Jadi, soalan tersebut bermain dalam fikiran saya sejak 1998. Apabila saya baca skrip, saya melihat realiti di sebalik gambar. Itu membuatkan saya fikir, tanggungjawab membawakan wataknya dalam filem perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin.
“Saya mengikuti perjalanan politik Anwar sejak 1998 dan saya menyokong perjuangan beliau. Apa yang berlaku kepadanya, berlaku juga kepada saya,” ujarnya yang menjalani penggambaran filem Jalan Masih Panjang sekitar Oktober lalu.

Disogok lima juta
Mengaitkan situasi perjuangan Anwar dengan dirinya, bintang Lagenda Budak Setan itu mengimbau semula pengalaman menolak sogokan bernilai RM5 juta yang akhirnya hampir membunuh karier seninya.
“Suatu ketika dahulu, saya hampir dirasuah sebanyak RM5 juta dan akibat menolak (duit), kesannya sangat buruk.
“Semua itu berlaku sekitar 2017. Siapa yang ambil duit akan selamat, siapa yang tolak, akan diperlakukan seperti saya.
“Cubaan hampir sama dengan apa yang Anwar lalui. Dahulu, rasuah berleluasa sehingga saya terfikir, adakah itu akibatnya bila kita tak ambil rasuah di Malaysia,” katanya.
Biarpun menjadi pelakon pilihan terakhir melakonkan karakter Anwar, Farid tetap berbangga apabila kebenaran perjuangan tokoh politik itu berhujung penghormatan.
Ditanya realiti Anwar dipilih sebagai PM ke-10, jawab Farid sedikit beremosi: “Saat Anwar jadi PM ke-10, saya berharap sistem di negara ini akan dibaik pulih.
“Saya berasa bangga sekurang-kurangnya, apa sahaja jalan Anwar yang disekat dahulu, sekarang sudah ada jalan.
“Sekurang-kurangnya beliau ada 10 tahun untuk memerintah sebagai pemimpin nombor satu negara. Insya-Allah.”














